Tidak hanya meraih kecemerlangan apabila bakat lakonan masing-masing diiktiraf, penampilan Maya Karin dan Tiz Zaqyah menggayakan rekaan persalinan hampir sama pada kemuncak Anugerah Skrin (ASK) 2016 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi turut mencuri perhatian umum.
Maya yang menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik (Filem) menerusi lakonannya dalam Nota dan Tiz yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Drama) menerusi Cermin Kasih, menggayakan gaun petang mendedahkan bahu dalam rona berbeza.
Maya anggun dalam persalinan hitam rekaan pereka popular, Rizalman, manakala Tiz pula memilih gaun petang merah Alia Bastamam. Maya yang dihubungi BH Online berkata, beliau hanya tertawa apabila membaca pelbagai komen peminat di laman sosial.
“Ia hanya satu kebetulan, malah saya dan Tiz tidak menyangka kami menyarung persalinan yang hampir sama. Saya hanya tertawa apabila membaca komen peminat. Persamaan gaun kami lebih ketara apabila saya dan Tiz bergambar berdua bersama trofi kemenangan,” katanya.
Tidak mengambil hati dengan komen yang dilontarkan peminat, Maya berkata, kejayaannya pada malam ASK 2016 mengukuhkan lagi profil dirinya sebagai pelakon apabila bakatnya masih dipandang juri profesional.
Menerusi filem yang sama, Maya menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) tetapi tewas kepada Nabila Huda yang memenanginya menerusi Munafik.