Dilaporkan, Malaysia Milk sudah mengarahkan penarikan balik serta-merta produk-produk susu Marigold HL daripada pasaran tempatan.
Semua produk susu Marigold HL yang luput tempoh penggunaan sebelum 7 November bagi Semenanjung Malaysia dan sebelum 11 November bagi pasaran Sabah, Sarawak dan Labuan sedang ditarik balik.
Penarikan balik itu, yang dilakukan sebagai “langkah berjaga-jaga dan secara sukarela”, adalah sebagai respons kepada maklum balas pelanggan bahawa susu coklat Marigold Milk adalah lebih pekat berbanding biasa.
“Meskipun maklum balas pelanggan ditujukan khususnya kepada susu coklat Marigold HL, Malaysia Milk juga sedang mengambil langkah-langkah proaktif untuk menarik balik produk-produk lain termasuk susu Marigold HL (200ml dan 1 liter), susu strawberi Marigold HL (200ml dan 1L) dan susu Marigold HL dengan sterol tumbuhan (1L),” menurutnya.
Syarikat itu menambah bahawa unit kawalan mutunya dan pasukan pengilangannya sudah mengenal pasti punca isu itu dan sudah membetulkannya, namun tidak mengulas lanjut.
“Kesihatan dan keselamatan pelanggan kami adalah keutamaan kami, dan kami sedang melakukan semua yang termampu untuk menyediakan seberapa banyak maklumat dan sokongan yang kami mampu,” jelasnya lagi.
Pelanggan yang telah membeli produk terbabit dinasihatkan untuk mengembalikan mereka kepada Malaysia Milk untuk penggantian atau hubungi pasukan perkhidmatan pelanggan untuk maklumat lanjut di 1800-88-5587.