Rata-rata wanita masa kini tidak berani untuk keluar rumah tanpa beberapa lapisan sapuan maskara pada bulu mata yang ‘kejung’ agar tampak melentik, calitan gincu rona kegemaran untuk menutup kekusaman bibir serta sapuan bedak asas yang tebal bagi memudarkan setiap cela dan parut yang ada di wajah.
Hm, anak-anak muda kita yang masih belajar di peringkat menengah pun sudah pandai melaram seperti orang besar tau? Sudah tahu menghabiskan wang poket di Sephora, NARS, MAC, Bobbi Brown, Urban Decay dan sebagainya. Kalahlah kita yang lebih dewasa ini.
Seperti penulis sendiri, solekan adalah sebahagian daripada keperluan seharian yang harus diaplikasikan agar personaliti yang ditonjolkan nampak lebih berkredibiliti, langsung dapat mewujudkan satu aura yang akan membuatkan orang di sekeliling menjadi lebih selesa. Ya benar, tanggapan pertama atau first impression itu penting untuk mengaut kepercayaan orang pada kita.
Namun begitu, tahukah anda bahawa terdapat banyak faedah yang dapat diperolehi sebaik anda berhenti menggunakan mekap pada wajah? Selepas membaca dan mengetahui faedahnya, anda pasti mahu menimbang tara keputusan untuk tidak mengenakan sebarang solekan lagi.
#1 Jimat Banyak Wang
Ramai di antara kita menghabiskan beratus hingga beribu ringgit untuk membeli alat solek serta perkakasnya. Bedak asas, gincu, serbuk pembayang mata, maskara, cecair primer, semburan setting spray, pemerah pipi, pensil alis dan banyak lagi.
Akan jadi lebih membazir jika anda tidak bijak berbelanja kerana anda membeli berasaskan jenama dan ada juga yang membeli cuma sekadar untuk mahu mempunyainya dan mengumpulnya. Bukannya anda mampu menghabiskan berpuluh-puluh gincu yang anda miliki itu pun.
Rata-rata jangka hayat alat solek hanyalah sekitar 2 tahun sahaja. Kesudahannya, kesemua alat solek (duit yang anda laburkan itu) akan berada dalam tong sampah.
Baiklah anda menggunakan duit yang anda laburkan untuk membeli sebatang gincu MAC berharga sekitar RM70 hingga RM80 itu untuk menikmati snek kegemaran mahupun dikumpul berdikit-dikit untuk membiayai tiket penerbangan melancong anda di masa hadapan.
#2 Punya Lebih Banyak Masa
Tidak perlu bersiap secara kelam-kabut di waktu pagi. Anda boleh ambil masa untuk mandi selama mungkin, relaks dan gantikan 30 minit yang selalu anda gunakan untuk bersolek itu dengan menikmati hidangan sarapan secara teratur.
Bukankah ini akan menjadikan anda lebih bersemangat untuk ke tempat kerja? 🙂 Cukuplah sekadar olesan gincu dan sedikit lapisan bedak rata pada wajah. Anda nampak sweet tanpa solekan berat!
#3 Kurang Stress
Apabila anda bersiap secara kelam-kabut, sudah pasti diri anda akan berasa tertekan. Kurangkan bermekap, nescaya anda pasti berasa lebih tenang.
Abaikan penggunaan bulu mata palsu, kanta lekap yang harus dicuci dan diuruskan dengan berhemah, lupakan maskara yang akan mematahkan bulu mata serta bedak asas tebal dan pemerah pipi yang akan menyesakkan liang roma wajah anda. Okay?
#4 Rambut Lebih Sihat
Apabila anda tidak menumpukan perhatian pada kecantikkan wajah yang bersolek semata-mata, sudah tentu anda akan mengalihkan perhatian kepada penjagaan rambut pula. Yay!
#5 Kulit Semakin Sihat
Tiada lagi kimia pada wajah, tiada lagi bahan dari alat solek yang menyumbat liang pori pada wajah selama berjam-jam lamanya dalam satu hari.
Liang pori pasti menjadi lebih lapang dan bersih. Selamat tinggal jerawat! Bernafaslah dikau dengan nyamannya wahai kulit.
#6 Terhindar Dari Bahan Kimia
Benar, sebahagian kandungan yang ada di dalam alat solek adalah punca kepada kemunculan kanser serta kecacatan pada bayi yang baru lahir. Ini telah terbukti dan diakui pakar-pakar antarabangsa termasuklah American Cancer Society sendiri.
Kita sebagai pengguna jarang mengambil berat tentang cara penggunaan alat solek serta kandungan yang terdapat di dalam gincu kegemaran mahupun pembayang mata yang mempunyai tekstur berkilau itu. Apa yang anda pentingkan adalah kecantikan yang akan dihasilkan oleh alat solek berkenaan sahaja.
Sebaiknya, baca lebih banyak artikel-artikel berfaedah supaya anda tahu akan keburukannya dari menghabiskan masa di gedung-gedung kecantikan untuk memilih bedak asas yang paling cocok dengan tona kulit anda. Oppss!
#7 Bulu Mata Lebih Cepat Panjang & Lebat
Okay! Yang ini sumpah berkesan. Hampir seminggu penulis tidak memakai maskara. Hasilnya, bulu mata menjadi lebih panjang dari normal dan anak-anak rambut bulu mata pun sudah mula tumbuh memenuhi ruang garisan kelopak mata yang agak lapang sebelum ini.
Kalau boleh, jangan pakai maskara yang kalis air (waterproof) meskipun ia kekal lebih lama kerana ia akan menyukarkan anda untuk mencucinya kemudian dan apabila cara anda menanggalkan mekap juga sedikit kasar, terutamanya apabila anda menenyeh makeup remover pada bahagian bulu mata, ia akan mudah patah seterusnya bulu mata semakin berkurang dan lambat tumbuh.
BACA ARTIKEL: 5 CARA PANJANGKAN BULU MATA SECARA SEMULA JADI!
#8 Boleh Menerima Kekurangan Diri
Walau cantik mana pun seseorang itu apabila mengenakan solekan, dirinya yang sebenar tetap akan diperlihatkan pada sang suami dan kaum keluarganya yang tinggal sebumbung. Anggaplah bahawa orang lain juga bisa menerima anda seadanya seperti mana mereka yang tersayang bisa menerima anda seadanya.
Melalui sebuah kajian rambang yang dilakukan, rata-rata lelaki tidak suka wanita yang bermekap tebal. Haaaa
Kekurangan wajah anda yang berparut, yang berjeragat mahupun bertompok itu tidak membezakan anda langsung dengan individu lain. Tiada sesiapa pun yang sempurna. Cuba tanam pemikiran yang lebih terbuka seperti bangsa asing. Mereka sangat menghargai keunikan fizikal yang dimiliki setiap individu.
Bukan tidak boleh bersolek, boleh. Kita kan wanita? Pasti mahu saja kelihatan cantik. Tetapi berpada-padalah agar tidak keterlaluan sehingga orang melabel kita sebagai perempuan bersifat “Tabarruj” bagi yang beragama Islam.
Be Real, Be You!
Selamat beramal!