Anda gemar barangan kraf tangan Jepun, makanan serta rangkaian fesyen negara matahari terbit yang eksentrik tetapi sukar untuk mendapat akses terhadap barangan berkenaan? Tak perlu gundah kerana Isetan The Japan Store kini bakal dibuka kepada awam, 27 Oktober 2016 yang berlokasi di pusat membeli-belah LOT 10 Kuala Lumpur!
Dibina pada ketinggian 6 tingkat, setiap jabatan menempatkan item tertentu yang terbahagi kepada beberapa kategori termasuk The Museum, The Studio, The Room, The Cube, The Table dan The Market.
Pelancaran The Japan Store adalah bertujuan untuk mempromosi produk, servis, pengalaman, masyarakat serta budaya orang Jepun kepada umum terutamanya kepada rakyat tempatan Malaysia. Dengan itu, ia juga sedikit sebanyak dapat menarik minat masyarakat setempat untuk mendalami keunikan bumi Jepun itu sendiri.
Ini adalah sebuah matlamat yang besar oleh Isetan Mitsukoshi Holdings bersama Cool Japan Fund Inc untuk memperkenalkan Jepun kepada mata dunia.
Aras pertama dipenuhi dengan pelbagai jenama fesyen terkemuka Jepun seperti Madstore Undercover, Y3, Porter, Onitsuka Tiger, Anrealage, Asobisystem, Strict-G, Kolor, John Lawrence Sullvian dan banyak lagi!
Aras kedua pula akan memperkenalkan beberapa item harian yang direka oleh jenama asli Jepun seperti Air by Tokyo Nishikawa, Uchino, Maruni Wood Industry, Nuno, Mina Perhonen serta beberapa rangkaian kosmetik antaranya Sheseido, Cosme Decorte, Albion dan SKII.
Dalam pada penat membeli-belah, pengunjung boleh ambil masa untuk merasa keajaiban suasana harian Jepun di mana Isetan The Japan Store turut menyediakan kedai buku, akademi pembelajaran dan agensi pelancongan di aras 3.
Bagi memenuhi selera Jepun anda, sila berkunjung ke aras 4 dan 5 yang ada menyediakan seleksi restoran hidangan Jepun serta menjual ramuan masakan asli yang diimport terus dari sana.
Isetan The japan Store menjangkakan 1.4 Juta pengunjung dan meletakkan sasaran jualan sebanyak 12 Juta ringgit Malaysia untuk tempoh tahun pertama pembukaannya.
Sila layari, thejapanstore.mistore.jp untuk keterangan lanjut.