Lebih 30 tahun, Carolina Herrera memaparkan ciri dan sifat keanggunan bergaya melalui rekaannya yang sangat eksklusif, istimewa untuk para wanita yang berjiwa feminin cekal.
Untuk musim ini, bagi menyambut usia jenama fesyen tersohor yang kian meningkat ini, perekanya Carolina Herrera ingin tampil dengan satu pembaharuan. Jelasnya, “Saya mahu membuat pakaian yang cantik dan tampak bersahaja, si pemakai tidak perlu berfikir panjang tentangnya malah hanya perlu memakainya dengan mudah.”
Diserikan dengan palet rona monokrom, setiap helaian adalah dilengkapi perincian serta reka bentuk yang menggambarkan sifat kewanitaan yang sejati.
Sedikit rona metalik juga diterapkan disertai penggunaan kain organza, tulle, renda, sutera tenun serta denim mewah. Kesemua rekaan adalah bertepatan dengan gaya pemakaian seharian yang sesuai untuk penataan waktu pagi dan untuk ke acara malam.
Glamor kini adalah simbolik utama baharu yang dibangkitkan oleh sifat elegen jenama berprestij Carolina Herrera.