Sudah menjadi trend masa kini, setiap resepsi perkahwinan haruslah diserikan dengan gadis-gadis dulang yang juga merupakan “bridesmaid” kepada si pengantin wanita.
Lazimnya, beberapa bulan sebelum berlangsungnya perkahwinan itu, bakal pengantin wanita pasti sudah heboh memikirkan tentang siapakah calon paling sesuai untuk ‘dilamar’ menjadi pengiring pengantin sepanjang berlangsungnya majlis nanti. Kebanyakkan dari bakal pengantin terdorong untuk mengambil teman-teman rapat mahupun individu dari dalam kalangan keluarga mereka sendiri untuk menjadi “bridesmaid”.
Dari majlis malam berinai (bachelorette party) sehinggalah pada hari berlangsungnya perkahwinan anda, mereka inilah yang akan menjadi pendokong semangat serta sedikit sebanyak bisa menceriakan sambutan majlis yang ‘barakallah’ itu.
Jadi, sudahkah anda memikirkan calon “bridesmaid” yang paling sesuai? Kalau sudah, ini Wanista senaraikan 10 idea hadiah menarik untuk diberikan kepada bakal-bakal gadis dulang anda sebagai token penghargaan. Confirm mereka akan gembira nanti!
#1 Cermin Poket
Perempuan mana boleh lari dari cermin, jadi penulis nasihatkan supaya anda mencari hadiah yang berguna seperti cermin poket ini untuk diberikan kepada bakal gadis dulang anda itu. Setahu penulis, di Petaling Street banyak menjual cermin kompak ala vintaj (seperti di dalam gambar) secara lambak yang diimport dari China. Mungkin anda boleh mendapatkannya secara murah jika dibeli dalam kuantiti borong.
Jika tidak pun, gunakan kreativiti untuk mencetak stiker nama kawan-kawan anda dan lekatkannya pada cermin kompak plastik kosong yang boleh didapati dari Daiso.
#2 Aksesori
Ringkas dan cukup sinonim dengan jiwa feminin wanita. Gelang tangan berantai sebegini pasti boleh dipakai dan disimpan untuk menjadi kenangan yang paling indah buat para gadis dulang anda! Selain gelang, barang perhiasan seperti anting-anting, rantai dan cincin pun boleh!
Untuk menjadikannya lebih eksklusif, anda boleh memberi dengan cara meletakkan ia di dalam kotak istimewa diikat reben yang kemudiannya dilekatkan dengan tag nama rakan-rakan anda.
#3 Baju Bercetak
Comelnya! Anda boleh membuat tempahan di kedai-kedai mencetak yang berdekatan. Paling tidak, baju bercetak sebegini boleh dijadikan item kenangan paling bermakna buat rakan-rakan anda itu selain boleh dipakai sewaktu menyambut majlis bachelorette party! Gempak habis!
#4 Jubah Kimono
Buat gadis-gadis fashionista, mereka pasti menghargai pemberian yang berbentuk helaian jubah kimono ini. Cantiknya bukan kepalang!
Boleh beri dengan cara menyusunnya di dalam kotak sebegini!
#5 Manisan
Siapa yang tidak sukakan manisan. Lagi-lagi anda yang memang tengah berdarah manis tu. Jadi, sediakan kotak istimewa yang berisi manisan (minuman dan makanan) serta beberapa item menarik lagi sambil dikepilkan bersama kad ucapan yang tertulis “Will you be my bridesmaid?”. Mereka pasti terharu!
#6 Beg Kepit
Tidak kisahlah rekaan beg kepit (clutch) yang bagaimana anda mahu jadikan sebagai pemberian. Yang penting, gadis dulang anda pasti dapat menggunakannya sehabis baik untuk memuatkan pelbagai keperluan penting mereka supaya tidak tercicir dimana-mana saat sedang sibuk mengurus anda dan majlis resepsi hari itu. Barulah #squadgoals!
Jika anda bajet lebih, bolehlah anda isi beg kepit itu dengan pelbagai item genit menarik yang lain seperti gincu atau cermin kompak yang dicadangkan di atas tadi. Sebelum sesi bergambar, mudahlah mereka membaiki solekan menggunakan gincu dan cermin kompak yang disertakan di dalam beg tersebut.
#7 Shawl
Sempurna untuk si gadis dulang muslimah! Kalau rajin, bolehlah anda cari pin atau brooch untuk disertakan bersama helaian selendang ini supaya semua “bridesmaid” anda bisa tampil sedondon sewaktu hari resepsi nanti! Yay!
#8 Set Melancong
Mana tahu jika anda bercadang untuk menyambut sisa-sisa hari bujang anda dengan rakan anda di luar negara. Hadiah tag bagasi serta bekas passport ini sesuai benar untuk dijadikan hadiah buat mereka!
Anda boleh berikan tag tersebut bersama beg mekap sebegini. Cantiknya!
#9 Kain Ela
Kalau dah jadi gadis dulang, baju mestilah pakat sedondon kan? Jadi apa kata anda hadiahkan kain ela untuk para gadis dulang anda membuat baju mengikut cita rasa mereka sendiri. Dari membeli siap, lebih baik dijahit sendiri mengikut ukuran badan. Lebih selesa dan nampak kemas apabila disarungkan ke badan.
#10 Lain-lain
Jika sukar sangat untuk memikirkan hadiah yang bagaimanakah sempurna, ha, anda boleh sertakan item-item yang dipilih secara rawak begini untuk diisi ke dalam kotak atau beg istimewa yang terdiri dari seluar dalam cantik, aksesori rambut, kepingan mask muka, pewarna kuku, gula-gula, sarung kaki berwarna, wangian dan lain-lain.