Tahun 2015 mencatat lembaran indah buat Nor Atiqa Noor Azraff yang menggunakan nama komersial, Kaka Azraff apabila single berjudul, Bukan Hal Aku memekarkan jenamanya sebagai anak seni. Cukup mengejutkan, lagu ini menerima sambutan membanggakan daripada penikmat muzik yang cukup ternantikan naskhah luar biasa berbanding kebiasaan didengari halwa telinga mereka sebelum ini sehingga meraih 5,527,945 juta tontontan di laman YouTube.
Pantas memandu kecintaannya dalam lapangan tarik suara, Kaka kini mempersembahkan buah tangan terbaharu kepada peminat dengan lagu bergenre pop moden yang berjudul, Terima Kasih hasil ciptaan sepenuhnya oleh Muhammad Alif Abdullah atau ingin lebih dikenali sebagai Al!f.
Terima kasih; ungkapan sederhana, penuh makna. Dan pengungkapan ini tidak terlepas dalam kehidupan seharian manusia. Dunia bakal terasa indah apabila kita sentiasa menghadirkan kebaikan di antara satu sama lain dengan cara saling membantu dan bersinergi.
Berkongsi cerita mengenai single terbaharunya, wanita berusia 27 tahun itu mengakui cukup teruja apabila berpeluang mendendangkan Terima Kasih yang diyakini punya aura tersendiri untuk dijulang sebagai sebuah lagi naskhahnya selepas kesuksesan Bukan Hal Aku. Malah, kemampuan vokalnya kali ini lebih teruji dengan lagu ini.
Video muzik Terima Kasih digarap oleh pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar dengan melibatkan 15 tenaga produksi berlokasi di Studio Kok Ah Loke, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang pada 28 Jun lalu. Proses penggambaran yang bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir 3 pagi keesokan hari itu menampilkan konsep lebih segar dan moden bersesuaian dengan tema total single ini.
Kaka bakal mengeluarkan album dengan tiga buah lagu baharu termasuk Terima Kasih dan baki empat buah lagu terdahulu iaitu Bukan Hal Aku, Bawaku Pergi, Infiniti Cinta dan Terpulanglah yang dijadualkan pada tahun depan.