Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan berlaku 41 kes virus Zika dari jangkitan dalaman.
Channel NewsAsia yang memetik MOH dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) melapor daripada penghidap itu, 34 daripadanya telah sembuh sepenuhnya sementara tujuh lagi sedang pulih di Hospital Tan Tock Seng.
Dilaporkan kesemua pesakit merupakan sama ada residen atau pekerja di kawasan Aljunied Crescent atau Sims Drive.
Mereka tidak diketahui telah mengembara ke kawasan jangkitan Zika dan oleh itu dijangka jangkitan berlaku dalam Singapura, kata saluran media tersebut.
Daripada jumlah kes tersebut, 35 pesakit merupakan pekerja asing yang bekerja di kawasan pembinaan Sims Drive, kata MOH dan NEA.
Pengumuman kes itu dibuat selepas kedua-dua pihak tersebut melaporkan seorang wanita Malaysia yang berusia 47 tahun yang tinggal di Block 102 Aljunied Crescent merupakan kes pertama jangkitan dalaman di Singapura. -Bernama