Rangkaian rekaan eksklusif yang berada di bawah rumah fesyen global terkemuka H&M, H&M Studio baru sahaja melancarkan koleksi untuk musim Luruh/Sejuk 2016 yang bertepatan dengan konsep ‘kuasa wanita’.
Bukan sahaja mewah, helaian yang dihasilkan untuk musim ini adalah eksklusif sepenuhnya berpandukan kerja-kerja jahitan luar biasa, kesinambungan perincian hiasan mewah (sulaman manik) serta reka bentuk pakaian yang lebih seksi dan sensasi. Ini adalah termasuk rekaan dress labuh, celana, jaket, kot, baju sejuk, baju-T, kemeja, kasut dan beg serta aksesori mengancam.
Tidak hanya polos seperti helaian-helaian musim sejuk jenama fesyen lain, H&M Studio sengaja mewujudkan suatu kelainan dengan menggunakan elemen sensual agar ia dapat memancarkan aura feminin dan elegen selari dengan gaya pemakaian masa kini kerana wanita alaf baru rata-ratanya sangat berani berfesyen.
Palet rona natural dan garang yang terdiri dari merah, hitam, putih dan biru adalah antara nuansa yang melengkapi ciri eksklusiviti dalam koleksi istimewa ini. Disertai pula dengan rekaan aksesori yang diinspirasi dari karakter maskulin seperti boot cowboy, beg berbentuk kiub dengan tali panjang, skraf sutera labuh, topi ‘gaucho dan rantai yang memiliki loket bulat.
Untuk keterangan lanjut, sila layari studio.hm.com