Senarai penuh calon Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 terus bergelumang kontroversi.
Pencalonan yang diumumkan malam tadi menyaksikan bukan sahaja kredibiliti calon akhir diragui, malah pembahagian kategori juga mengundang kritikan khalayak.
Tiga kategori yang turut dipertandingkan tahun ini iaitu Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik dibahagikan kepada dua kategori, Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia.
Pembaharuan ini sekaligus membawa persoalan dalam kalangan penggiat dan penggemar filem tanahair. Dek kerana itu juga, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap diskriminasi yang dilakukan itu.
Malah, pelakon dan juga pengarah filem terkenal, Afdlin Shauki mengejutkan peminat industri hiburan apabila mengumumkan dia memboikot Festival Filem Malaysia 2016 (FFM).
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagramnya.
“Maaf, tahun ini saya boikot FFM. Bilalah rakyat Malaysia tak kira bangsa akan betul-betul dihargai karya-karya seni mereka sebagai karya Malaysia. Semoga berjaya kepada semua yang tercalon!!! FFM semoga maju jaya juga.”
FFM28 bakal berlangsung 1 hingga 3 September di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre.