Khas untuk musim ini, jenama fesyen berprestij antarabangsa yang sering tampil dengan imej sensual berkarisma ini telah mengetengahkan pendekatan berkarakter ke dalam sisi rekaan koleksi aksesori kaca matanya.
Setiap satu rekaan adalah unik, disisipkan dengan motif berseni bagi menonjolkan sifat sensual dan feminin melalui bentuk bingkai, warna lensa serta hiasan perincian yang mewah.
Secara keseluruhan, terdapat 10 rekaan kaca mata gelap terkini dari Dolce&Gabbana yang bisa menjadi peneman kepada gaya anda yang ringkas sepanjang musim luruh dan sejuk yang bakal menjelma.
Diinspirasi dari kemewahan bumi Itali, kaca mata gelap yang dihinggap dengan batu permata pelbagai warna ini baka menyerlahkan kewanitaan si pemakai. Bahkan, rekaan ini adalah merupakan keluaran edisi terhad yang pernah ditayang ketika pertunjukkan fesyen Dolce&Gabbana SS2016 lalu. Bingkainya mempunyai potongan bulatan penuh manakala lensanya menggunakan cermin jenis lut sinar rona kelabu yang dikelilingi batu permata berwarna jenis Swarovski.
Cermin lensa jenis lut sinar berpotongan bulat penuh ini dikelilingi cincin bingkai yang memiliki perincian reka bentuk ala potongan permata. Ia terdapat dalam beberaopa pilihan warna terang seperti merah, biru dan hijau sememangnya bertepatan untuk melambangkan warna-warna meriah yang boleh dilihat pada batu permata. Manakal tangkai bingkainya pula terdiri daripada besi halus yang dihiasi dengan ukiran tulisan jenama Dolce& Gabbana.
Saiz bingkai yang besar ini dihiasi cermin lensa berpotongan geometrik, disunting dari kegilaan ‘diva’ tahun 50an. Terdapat dalam rona pilihan Hitam, Havana, Merah Jambu, Merah Hati dan Biru yang turut dilengkapi lensa jenis gradien.
Sebagai penambah seri, plak yang dihiasi jenama Dolce& Gabbana Milano diletakkan pada bahagian penghujung tangkai di sisi bingkai kaca mata.
Tidak ketinggalan, kaca mata gelap yang direka dengan penuh kepakaran ini dilengkapi lensa berpotongan heksagon, manakala bingkainya pula mempunyai ciri-ciri vintaj yang diperbuat dari material besi halus.