Perkahwinan bukanlah setakat untuk mempunyai majlis resepsi yang gilang-gemilang bahkan, perkahwinan juga bukanlah tiket demi mendapatkan status ‘hubungan suami isteri yang sah’ semata-mata. Jika tersilap langkah, padah yang akan muncul sehingga menyebabkan sesebuah masjid yang dibina itu goyah, bagai menunggu masa untuk jatuh ke tanah.
Penulis yakin, tiada sesiapa pun di antara kita yang mahu melalui perkahwinan atau percintaan ‘sekerat jalan’. Setelah sekian lama mengharungi dugaan, cabaran, susah dan senang bersama, tidak mudah untuk kita mengendahkan hubungan yang ibaratnya seperti “telur dihujung tanduk”.
- Foto -boredpanda.com
Sehubungan itu, buat anda yang berjauhan dengan suami atau bagi mereka yang sedang ‘mengah’ cuba mengekalkan hubungan percintaan jarak jauh yang semakin dingin, ini Wanista sisipkan ebberapa potong nasihat untuk anda. Tenanglah.
Anda bukannya terpisah dek kerana kebencian, tetapi terpisah oleh kerana garis masa yang tidak mengizinkan, faktor lokasi pekerjaan, dan sebagainya.
Taktik Komunikasi
Setiap pasangan mempunyai keperluan yang berbeza-beza, ianya bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu, tentukan masa untuk berkomunikasi bersama pasangan mengikut kesesuaian dan kehendak diri anda dan pasangan.
Berhubung di sini tidak bermaksud anda perlu ‘bergayut’ dengan si dia 24/7. TIDAK.
Apa salahnya jika anda meluahan perasaan rindu padanya, bercerita tentang apa yang anda lalui seharian nelalui aplikasi Whatsapp. Atau mungkin juga melalui Face Time mahupun Skype? Berkongsi perasaan, fikiran dan luahkan secara santai segala apa yang terbuku bersama. Pasti ianya berhasil untuk buat jiwa anda lebih dekat meskipun jasad anda berdua berjauhan.
Jangan Melebih-Lebih
Sememangnya kita dan pasangan harus berlaku jujur, namun ada sesetengah perkara yang harus anda simpan sedikit agar ianya tidak kelihatan ‘melebih-lebih’. Memang anda rindu, memang anda sunyi, tapi pabila setiap kali si dia menelefon anda, anda berulang-ulang mengatakan yang anda bosan untuk terus bersendirian, bosan untuk melalui hidup yang sering dihantui perasaan rindu.
Bagus sebenarnya untuk anda meluahkan kata-kata rindu pada pasangan kerana itu bisa menguatkan lagi kasih dan cinta anda berdua. Namun, cuba alih perhati dengan bercerita tentang kebahagiaan. Mungkin tentang betapa sedapnya roti sandwich yang anda nikmati semasa makan tengah hari tadi atau pun mengenai perkara lucu yang anda alami satu hari ini. Sedikit sebanyak ia bakal memberi impak positif kepada perhubungan sihat yang ingin dibina.
Elak Bertengkar Melalui Mesej
Cinta ini adakalanya pelik dan sukar untuk difahami. Ada masa, ketika sedang bedepan, menghabiskan waktu bersama… Elok je kita tertawa dan bergembira. Namun, ketika berjauhan, bukan main asyik nak bergaduh sepanjang masa. Kenapa agaknya? Emosi telah menguasai diri sehingga kita menjadi terlalu ego. Kita rindu akan dia, kita tidak perhatian yang kita mahu darinya membuatkan pergaduhan remeh timbul serta-merta.
Nah, ada baiknya jangan bergaduh atau terus bertikam lidah melalui mesej atau perbualan bertulis. Jika ada yang dipendam, cuba untuk berbincang melalui panggilan telefon.
Manusia cenderung untuk menyalah tafsir perbualan bertulis, lagi baik kalau anda boleh berinteraksi melalui perbualan bersemuka menerusi Skype mahupun Face Time kerana gerak tubuh adalah sangat penting dalam mengekspresi perasaan.
Surprise Surprise!
“Hi sayang! I nak jumpa you hari ni! Meeting I last-minute cancel lah :)”
Ini mungkin merupakan ungkapan yang paling ditunggu-tunggu oleh pasangan. Betapa seronoknya hati menunggu sang pria atau puteri datang di saat-saat akhir tanpa diduga.
TAPI, ingat! Jangan sehingga anda mengganggu perancangan hariannya pula. Mana tahu pasangan anda mempunyai perkara mustahak lain yang harus diselesaikan hari itu. Cuba untuk menghubungi pasangan dahulu, menyatakan hajat sebenar anda supaya si dia boleh bersiap-sedia namun masih kekal teruja dalam masa yang sama.
Ajak Si Dia Selami Kehidupan Anda
Bila dah jadi nak jumpa tu, janganlah asyik nak berkepit lakukan perkara yang lazim anda lakukan bersama. Cuba keluar dari kotak keselesaan dan ajak pasangan anda untuk melakukan perkara yang lain -lari dari kebiasaan.
Mungkin anda boleh mengajak si dia keluar untuk berkenalan dengan kumpulan teman-teman rapat atau bawa dia pergi ke pasaraya kegemaran anda untuk membeli barang runcit bersama. Lebih seronok bukan?
Berseronok Dengan Diri Sendiri
Meskipun sudah bergelar isteri atau tunangan orang yang punyai banyak tanggungjawab untuk digalas, selitkan sedikit masa untuk berhibur bersama. Cuba buat apa yang anda suka seperti belajar menjahit, menghadiri kelas memasak sebagai persediaan untuk menjadi isteri mithali, mahupun melancong secara solo sekali seumur hidup.
Sekurang-kurangnya, ini cara untuk anda leraikan diri daripada perasaan rindu yang teramat pada si dia. Cuba sibukkan diri dengan perihal lain supaya anda terlupa seketika untuk menjadi murung dek kerana kesunyian yang teramat.
Tujuan Yang Sama
Jadi jujur dan cerita tentang motif hubungan anda pada si dia. Cuba cari keserasian. Perhatikan adakah si dia mempunyai impian untuk berkahwin dengan anda seperti mana anda mengharap untuk menjadikannya pasangan sehidup semati. Jika anda dan pasangan tidak menuju ke destinasi yang sama, hubungan itu pasti akan berakhir dengan perpisahan.
Cari Masa Untuk Bertemu
Berapa kerap anda bertemu dengan pasangan dalam sebulan? Ia pasti bergantung kepada jarak, waktu lapang serta kondisi kewangan bukan?
Tetapi sebaik-baiknya, cuba cari masa untuk bertemu dengan pasangan sekerap yang mungkin agar hubungan itu terasa realistik. Tetapi janganlah kerap benar sehingga ada yang meluat nanti.
Hantar Kejutan
Siapa yang tidak suka akan kejutan. Tidak kiralah wanita atau pun lelaki, degupan jantung saat menerima pemberian yang tidak diduga itu akan memberi suatu keseronokkan yang paling hebat!
Sebagai contoh, jika pasangan anda sedang jatuh sakit, anda boleh menghantar kotak kejutan yang berisi vitamin, teh herba, ubat-ubatan, DVD filem komedi atau kompilasi lagu-lagu cinta… bahkan mungkin juga tiket percutian singkat yang boleh anda pergi bersama sejurus si dia sembuh dari sakit sebagai kunci motivasi untuk anda pasangan cepat sembuh.
Selamat beramal dan hargailah cinta anda sementara masih ada.