Mulanya ramai tidak percaya dan tertawakan Muhammad Helmy, termasuk ibunya, apabila beliau menyatakan ingin menyimpan syiling untuk berkahwin.
Kini beliau menayangkan sejumlah $6,000 (RM17,777) wang syiling itu di Facebook miliknya hasil simpanan beberapa keping sehari selama hampir dua tahun.
Dilhamkan oleh bapa saudaranya, kisah bekas pelajar kejuruteraan Universiti Kebangsaan Singapura yang dikongsi di laman sosial itu disukai lebih 1,200 pengguna Internet.
Katanya, status itu dimuat naik untuk memberi motivasi kepada rakan-rakannya dan anak muda lain yang mahu berkahwin pada usia muda atau memerlukan wang untuk apa jua tujuan.
“Simpan duit syiling satu dolar. Cukup masa, tabur sahaja di meja, ataupun beri sahaja tabung itu. Tidak perlu kacau duit simpanan,” kata Muhammad.
“Tiada apa yang mustahil. Soal hendak atau tidak saja tetapi perlu ada disiplin.”
Coretannya mendapat perhatian portal komuniti republik itu Mothership, yang mendapat perhatian meluas tahun lalu.