Hiasan jernih berkilau pasti dapat menceriakan suasana sudut mahupun bahagian rumah yang polos.
Swarovski kini menawarkan seleksi barangan hiasan genit yang diperbuat daripada batu kristal bermutu, bisa dijadikan koleksi peribadi eksklusif mahupun pemberian istimewa untuk sambutan-sambutan tertentu.
Peminat tegar jenama Swaroski pasti seronok untuk memiliki rangkaian koleksi terbaharu ini, dicipta dengan penuh ketelitian bagi menggambarkan aura memori serta emosi sepanjang hayat.
Koleksi Crystal Nature menampilkan pilihan yang terdiri dari ukiran kristal yang berbentuk binatang comel. Motif yang disunting dari habitat alam semula jadi ini secara tidak langsung boleh dikaitkan dengan personaliti seseorang.
Koleksi Disney pula mengetengahkan karakter animasi popular Mickey & Minnie. Kristal berwarnanya yang menonjol akan mengembalikan memori nostalgia kanak-kanak anda!
Bagi koleksi Mother Nature, suatu kelainan cuba diterapkan dengan sinergi kehidupan laut dan darat, terdiri dari motif ikan laut, batu karang dan burung.
Khas untuk peminat Hello Kitty! Koleksi Hello Kitty dari Swarovski bakal menyalurkan kegembiraan tidak terkata, menampilkan ikon feminin ini dengan rekaan yang dipenuhi potongan kristal pelbagai aspek.
Bukan itu sahaja, demi memenuhi sifat kewanitaan seseorang, koleksi Brilliant Heart ada menawarkan rekaan kristal jernih yang berbentuk hati, sesuai benar dijadikan pemberian sempena sambutan ulang tahun, hadiah perkahwinan mahupun sebagai tanda kasih dari seorang pria kepada gadis idamannya.
Diakhiri dengan koleksi Lovlots – Kris Bears sebagai pemberian romantis. Koleksi yang sangat comel ini merangkumi rekaan beruang genit bernama Kris Bears memperlihatkan perbuatan yang pelbagai seperti memegang jambangan ros dan memanah cinta sambil mengukir senyuman. Sesiapa yang melihat pasti akan jatuh hati dengan elemen mewah yang terserlah pada rekaan eksklusif ini.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk di www.swarovski.com