Dari segi permainan warna serta perincian reka bentuknya, Marc Jacobs tidak pernah gagal untuk menghasilkan koleksi aksesori yang bisa melengkapkan seisi gaya wanita mempersona.
Bersempena musim panas 2016, Marc Jacobs tampil hebat dengan memperkenalkan koleksi kaca mata eksentrik, terdiri daripada lima rekaan tersendiri. Warna polaroid menonjol disisipkan ke dalam ilham rekaan kanta kaca mata yang berkenaan manakala bentuk bingkainya yang disunting dari trend 70 – 80an seperti bentuk mata kucing, bentuk bulat dan bersegi itu secara tidak langsung mesra menjadikan rangka kaca mata ringkas menjadi sesuatu yang luar biasa.
Untuk rekaan kaca mata yang mempunyai reka bentuk kanta membulat ini, Marc 54/s menampilkan 3 kanta pilihan yang boleh ditukar ganti. Perincian seperti kristal swarovski dapat dilihat menghiasi sepasang kanta untuk bingkai Marc 54/s ini. Khas untuk wanita yang gemar berpenampilan ranggi dan berani.
Bingkai kaca mata yang memiliki kanta bentuk mata kucing ini diserikan dengan 5 pilihan warna ceria seperti merah jambu terang, kuning, hijau, perak dan putih. Bingkainya dibuat dari campuran besi nipis, menampakkan lagi sifat eksklusif aksesori ini.
Buat si obsesi “hippies”, Marc 34/s yang mempunyai kanta bulat berperincian cermin gradien ini adalah paling cocok buat si wanita berjiwa ceria!
Mengembalikan nostalgia zaman 80an, perincian bingkai yang runcing menjadi sisi utama rekaan sambil dipenuhi cetakan bertompok yang menyumbang lagi karakter istimewa kepada Marc 47/s dan Marc 49/s. Kedua-dua rekaan memainkan palet warna dan cetakan mewah, bahkan apa yang membezakan adalah Marc 47/s yang diilhamkan dari kanta berbentuk mata kucing itu mempunyai ruang batang hidung yang lebih tirus dan runcing, tidak seperti Marc 49/s yang menampilkan rekaan kanta bersegi.
Untuk maklumat lanjut berkenaan koleksi kaca mata terkini untuk wanita dari Marc Jacobs bersempena musim panas 2016, sila rujuk di www.marcjacobs.com