Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HMFD) yang meningkat dengan ketara sejak seminggu lepas kini dianggap endemik, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata oleh kerana penyakit itu merebak melalui bendalir tubuh, maka beliau menggesa ibu bapa yang anak mereka dijangkiti penyakit itu supaya mengkuarantinkan anak masing-masing.
“Oleh kerana HMFD boleh berjangkit dengan mudah kepada kanak-kanak lain, maka saya menggesa ibu bapa yang tahu bahawa anak mereka dijangkiti HMFD, tolonglah kuarantinkan mereka di rumah atau hospital.
“Ibu bapa perlu menyedari tentang simptom awal HMFD seperti kesukaran bernafas, muntah, cirit-birit dan kehilangan selera makan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dr Hilmi berkata kementerian itu akan melakukan pemantauan berterusan terhadap kesihatan kanak-kanak bagi mencegah penularan penyakit tersebut.
Sebanyak 1,379 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara dari 5 hingga 11 Jun, meningkat 83 kes daripada minggu sebelumnya.
Penyakit ini berpunca daripada penyebaran enterovirus secara pantas melalui air liur, peluh dan najis penghidapnya.
Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata kementerian itu tidak menganggap tiga kes Japanese Encephalitis (JE) di Negeri Sembilan sebagai endemik dan orang ramai tidak perlu panik tentang perkara itu.
“JE adalah penyakit yang muncul dari semasa ke semasa dan kementerian ini sentiasa melakukan pemerhatian rapi mengenainya,” kata beliau.
Pada 15 Jun, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun didapati positif JE dan dia kini ditempatkan di unit penjagaan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan.
Ini adalah kes ketiga JE di Negeri Sembilan tahun ini, selepas masing-masing satu kes dilaporkan di Jelebu dan Kuala Pilah.
Berdasarkan pemeriksaan awal, jabatan kesihatan tempatan mendapati rumah mangsa adalah bekas tempat berkubang babi hutan.
JE merebak melalui gigitan nyamuk yang menggigit babi serta unggas yang dijangkiti penyakit itu. -Bernama