Kajian dalam skala besar mendapati ibu yang gemuk dan obes kemungkinan besar mempunyai anak perempuan yang terlebih gemuk apabila dewasa.
Kesimpulan itu diperolehi oleh kumpulan penyelidik Universiti Auckland dan Universiti Uppsala yang meninjau data 26,561 pasangan ibu dan anak perempuan Sweden, lapor AFP semalam.
Mereka mendapati ibu yang gemuk tiga kali berkemungkinan mempunyai anak perempuan obes di kemudian hari, sementara ibu yang obes pula lima kali berkemungkinan mempunyai anak perempuan obes.
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menakrifkan “gemuk” sebagai seseorang yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) 25.0 hingga 29.9, sementara “obes” pula 30.0 atau lebih.
Indeks BMI 18.5 hingga 24.9 dianggap “normal” atau “sihat,” dan BMI di bawah 18.5 disifatkan “kurus.”
Pasukan penyelidik itu juga mendapati hanya dalam tempoh dua generasi wanita-wanita Sweden meningkat kegemukannya sehingga empat kali ganda.
Kira-kira 3.1 peratus ibu yang hamil dalam tempoh 1982-1988 dianggap obes tetapi generasi berikutnya di negara itu yang mengandung antara 2000-2008 dikategorikan sedemikian.
Penyelidik percaya anak-anak perempuan daripada ibu obes kemungkinan besar turut mengalami obesiti kerana gaya hidup dan pemakanan keluarga.
Atau, ibu obes membekalkan banyak makanan kepada bayi di dalam kandungan, menyebabkan anak-anak terbiasa menyimpan lemak ketika kanak-kanak dan dewasa, lapor AFP lagi.
Dr José Derraik dari Institut Liggins di Universiti Uppsala memberi ingatan bahawa kegemukan boleh membahayakan ibu dan anak.
“Wanita hamil yang obes meningkatkan risiko terkena masalah jantung, kencing manis, keguguran dan kematian bayi,” katanya.
“Juga, makin banyak bukti menunjukkan keobesan sewaktu hamil boleh menjejaskan kesihatan anak-anak bukan setakat sewaktu usia kanak-kanak tetapi juga zaman dewasa mereka.”
Tambahnya, kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports bertujuan mencegah gejala berat badan berlebihan di peringkat awal walau ia sukar.
“Keobesan satu masalah serius kesihatan yang memerlukan penyelesaian di segenap peringkat masyarakat,” kata Derraik lagi.