Hidradenitis Suppurativa adalah penyakit radang kulit kronik yang kelihatan seperti bisul atau jerawat bernanah bercampur darah -selalunya muncul di celah-celah bahagian sulit badan seperti ketiak, punggung, pangkal peha, celah kelengkang, dan sekitar payudara. Penyakit ini akan menyebabkan mangsa berasa tidak selesa disebabkan oleh kesakitan yang dialami serta luka dan nanah yang sentiasa mengalir dan tidak boleh dikawal.
Difahamkan, 1 peratus populasi di seluruh dunia mempunyai risiko untuk menghidap ‘penyakit sepanjang hayat’ ini. Malah sebenarnya, peratusan pesakit HS semakin meningkat sehingga ke hari ini. Penyakit radang kulit kronik ini juga adalah sangat berisiko untuk dihidapi individu yang mempunyai masalah berat badan berlebihan serta para perokok.
Sehingga kini, masih belum ada penawar spesifik yang berjaya ditemukan untuk memulih penyakit radang kulit kronik ini secara kekal. Namun, kemunculan inovasi perubatan AbbVie yang digelar HUMIRA® (Adalimumab) ternyata bisa memberi sedikit kelegaan dan mampu mengawal penyakit itu dari menjadi lebih serius.
Baru-baru ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan HUMIRA® (Adalimumab) sebagai salah satu produk syarikat biofarmaseutikal global AbbVie untuk merawat HS dari tahap sederhana sehingga kronik bagi pesakit dewasa yang tidak mempunyai harapan untuk dipulihkan dengan rawatan sistematik konvensional biasa.
HS yang turut dirujuk dengan nama “Acne Inversa” oleh pakar dermatologi itu akan menyukarkan kehidupan harian pesakit, sekaligus menghalang pesakit untuk bekerja, melakukan aktiviti fizikal serta menyerang emosi dan mental si penghidap.
Keberkesanan HUMIRA telah diperakui apabila sebuah kajian yang melibatkan 633 pesakit terpilih secara rawak tahap serdehana dan serius untuk menerima medikasi HUMIRA sebagai rawatan tambahan di samping pengambilan antiseptik topikal harian mereka.
Hasil kajian mendapati, nanah dan bengkak pada permukaan kulit pesakit semakin berkurang bahkan tiada kesan sampingan yang dikenal pasti. Dalam masa yang sama, di saat minggu ke-12, pesakit yang mengambil HUMIRA menunjukkan kesan yang memberangsangkan di mana keperitan rasa sakit yang biasa mereka alami turut berkurang berbanding pesakit yang hanya menerima medikasi Placebo.
Sejak mendapat kelulusan sejak 13 tahun yang lalu, HUMIRA kini telah digunakan secara praktikal dan berkesan untuk mengawal penyakit HS di lebih 87 buah negara oleh 940,000 pesakit di seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, HUMIRA® (Adalimumab) tidak boleh didapati di klinik atau farmasi lazim, pesakit hanya akan disyorkan untuk menggunakan HUMIRA® (Adalimumab) sebaik sahaja mereka disahkan menghidap penyakit radang kulit kronik Hidradenitis Suppurativa oleh pakar dermatologi yang dirujuk.
Sila layari www.humira.com untuk keterangan lanjut.