Nampak gayanya, sesaklah baazar-baazar ramadhan yang ada di sekitar Malaysia hari ini. Hari pertama puasalah katakan. Pasti ramai juga yang rindu untuk menikmati juadah berbuka yang popular seperti Ayam Percik, Roti John, Murtabak, lauk-pauk kampung, aneka Gulai, Pajeri Terung dan Nenas, kuih-muih, Cempedak Goreng, Ikan Bakar, Bubur Lambuk dan banyak lagi! Tidak dilupakan, air tebu dan soya cincau juga! Wah… tak sabar dah ni nak berbuka petang nanti!
Jadi, anda dah bersedia untuk mengharungi kebanjiran manusia meneroka lorong-lorong yang mewah yang menawarkan aneka pilihan makanan? Ini Wanista senaraikan beberapa bazaar ramadhan popular yang saban tahun tidak pernah gagal untuk melengkapkan seisi keperluan berbuka puasa pengunjungnya yang berpusu.
Jom serang!
#1 Stadium Shah Alam, Seksyen 13
Di Shah Alam ni, apa je yang tak ada? Sebut sahaja mesti adalah! Ianya salah sebuah baazar yang terbesar daerah Lembah Klang, sedari awal jam 4 petang, banyak gerai yang telah pun bersiap-sedia untuk memenuhi keinginan tekak anda sepanjang bulan Ramadhan.
Terletak di sepanjang tempat letak kereta Stadium, anda bakal merasakan hangat asap beraroma yang datangnya dari bara memanggang sekeliling. Ayam Percik, Nasi Tomato, aneka Taufufah berperisa, semuanya anda boleh dapat pada harga yang berpatutan.
#2 Kampung Baru
Berada di sepanjang jalan Raja Alang, Baazar Ramadhan Kampung Baru mungkin adalah yang terbesar di daerah itu. Anda pasti menemui makanan enak dari kebab sehinggalah ke murtabak yang mengiurkan.
Orang kata, bubur lambuk yang lazimnya dijual di sini juga sedap. Betul ke? Nak tahu, kenalah pergi dan tengok sendiri. Dah tengok tu jangan lupa beli pula! Esok kalau sedap boleh beli lagi 🙂
#3 Bangsar
Bangsar pun tidak terkecuali dari dari menjadi Bazaar tumpuan untuk masyarakat umum membeli juadah berbuka setiap tahun!
Terletak di Jalan Telawai 1, bersebelahan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq.
Ada yang kata Bazaar Ramadhan di Bangsar ini tidak sebesar mana namun, ia tetap menjadi pilihan ramai pengunjung mungkin kerana seleksi makanan dan minuman yang disediakan adalahh cukup menarik!
Putu piring yang ramai orang tergila-gilakan ada di sini. Bangsar sememangnya adalah syurga makanan bagi semua.
#4 Wangsa Maju
Oleh kerana lokasinya sangatlah berdekatan dengan LRT, pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam itu hanya perlu melintas jalan menuju ke perumahan flat yang berdekatan untuk membeli makanan berbuka di Bazaar Ramadhan wangsa Maju ini.
Anda pasti hilang arah apabila melihat warna-warni kuih tradisonal yang terhidang di atas meja gerai menggu saat untuk disambar oleh para peminatnya. Kuih Lapis, Seri Ayu, Kuih Jangung, Kuih Bakar dan bermacam lagi!
Nak lagi best, jangan lupa beli cempedak goreng! Walaupun harganya sedkit mahal, apa salahnya memenuhi selera diri sepanjang bulan puasa ni kan?
#5 Taman Tun Dr. Ismail (TTDI)
Lokasinya berjiran dengan pusat membeli-belah One Utama, ianya dikenali sebagai tempat orang mencari juadah berbuka paling hangat di tengah-tengah bandar kawasan itu.
Terletak di Jalan Tun Mohd Fuad 2, lautan manusia bakal menyelinap ke setiap sudut gerai yang ada dan lazimnya orang akan beratur panjang untuk membeli Murtabak Raja yang kaya dengan isi daging mahupun ayam empuk, popiah basah dan banyak lagi.
Untuk tidak mengecewakan anda, silalah berada di lokasi bazaar ini seawal jam 4pm untuk mengelakkan kesesakan, malah tempat letak kereta juga adalah terhad.
#6 Subang Jaya
Siapa yang tidak kenal dengan Bazaar Ramadhan SS18 ini? Sebut sahaja pasti orang tahu, malah orang yang tinggal di daerah Petaling Jaya pun sering berkunjung ke bazaar ini untuk melengkapkan keperluan berbuka mereka.
Orang kata, kepak ayam yang dijual di sini sangat istimewa! Terletak di hadapan kawasan padang yang luas, hidangan Roti Jang yang serupa dengan Roti John serta murtabaknya juga terkenal 🙂
#7 Bukit Bintang
Terjah Bazaar Ramadhan Bukit Bintang untuk membeli juadah menyelerakan yang unik seperti Nasi Burung Puyoh Berempah, Ajebois Roti Jala Traffic Light, Nasi Ayam Bakar, Baklava dan Daging Pakapow! Bunyi je dah hebat kan? Tunggu apa lagi?
#8 Masjid India
Jalan Masjid India yang bersebelahan Jalan Tuanku Abdul Rahman terkenal dek kerana suasana hariannya yang sibuk dengan aktiviti jual beli yang menawarkan pelbagai barangan tradisional. Dari pakaian, snek, tekstil, semuanya dijual pada harga murah dan berbaloi!
Bazaar Ramadhan yang diadakan di lokasi ini saban tahun juga tidak ketinggalan menawarkan pelbagai makanan yang berkonsepkan masakan Melayu seperti Nasi Campur yang sering habis jualannya seawal jam 5pm! Hebat! Lokasi strategiknya secara tidak langusng mengundang ramai individu yang berada disekeliling untuk mendapatkan juadah berbuka secara efisyen. Lagi pula, ia tersangatlah dekat dengan Bukit Bintang.
#9 Bandar Tun Razak
Bandar Tun Razak akan mula hidup ketika bulan Ramadhan menjelma. Ramai penduduk tempatan Cheras akan berpusu mengunjungi bazaar ini bagi mendapatkan juadah berbuka pilihan.
Jus tebu yang dijual pada harga serendah RM5 pastinya akan dapat melegakan dahaga sewaktu berbuka. Malahan, jika anda pencinta tegar Roti John, dapatkan Roti John Din yang enak pada harga RM4.
Ish, Putu Bambu Teluk Intan pun sedap juga!
#10 Bandar Baru Sentul
Lebih 40 buah gerai berdiri megah di sepanjang hadapan bangunan mini UTC di Sentul.
Hidangan popular yang sering menjadi buruan pengunjung adalah seperti Nasi Lemak yang hadir bersama pilihan lauk sampingan seperti Sambal Sotong, Ayam Goreng, mahupun Gulai Daging.
Jika anda hendak suatu kelainan, boleh cuba murtabak maggi, makaroni bakar dan beberapa manisan enak lain.
#11 Putrajaya
Dengar cerita, Bazaar Ramadhan Putrajaya ini pun popular jug, terutamanya dalam kalangan penjawat awam yang bekerja berdekatan. Terletak di Presint 3, kawasannya yang luas itu memudahkan orang ramai untuk lalu-lalang serta membeli juadah berbuka yang pelbagai!
Apa-apa pun, kita mesti ingat tujuan berpuasa yang sebenar. Apabila membeli juadah itu pula, janganlah terlalu mengikutkan hati dan hawa nafsu, takut membazir pula. Betul tak?
Selamat menyambut Ramadhan Kareem dari team Wanista buat pembaca sekalian!