Umur jenama ini belum pun menjangkau setengah tahun, His & Her yang diasaskan oleh pasangan selebriti romantis tanah air Hairul Azreen dan Hanis Zalikha baru sahaja memperkenalkan koleksi Aidilfitri 2016 khas buat lelaki dan wanita.
Hairul dan Hanis sentiasa peka akan trend fesyen masa kini yang bisa memenuhi cita rasa masyarakat setempat. Rekaan eksklusif yang terdiri daripada 30 pasang busana Aidilfitri untuk tahun 2016 itu berkonsepkan padanan sedondon buat si pria dan gadis yang mahu kelihatan “bagai pinang dibelah dua” di pagi raya. Bukan itu sahaja, malah sesetengah rekaan untuk wanita dalam koleksi sulung jenama His & Her ini adalah sesuai untuk dipakai ibu yang menyusukan bayi malah terdapat pilihan saiz besar untuk golongan yang tertentu.
Hairul mengakui yang dirinya begitu gembira kerana dapat membangunkan perniagaan bersama isterinya, Hanis Zalikha. “Saya teruja kerana bisa memberi peluang kepada orang ramai menggayakan fesyen hasil ciptaan kami berdua yang terasa begitu rapat dengan personaliti serta karakter kami,” tambah Hairul selaku Pengarah Kreatif His & Her.
Kesemua fabrik yang digunakan untuk membuat pakaian wanita dan lelaki bagi koleksi Aidilfitri 2016 His & Her adalah berasaskan fabrik yang sama iaitu kain jenis Santana Satin. Selain tidak panas dan mudah menyerap peluh, ia turut diimport khas dari negara luar.
Secara jelas, His & her banyak menerapkan elemen dan perincian artistik seperti penggunaan renda serta sulaman manik berkilau untuk menghiasi setiap sudut fabrik yang polos. Manakala palet warna yang dimaanfaatkan untuk koleksi ini adalah seperti pastel, merah, hijau emerald, kelabu, coklat, biru gelap, semuanya berjaya digabungkan bersama untuk gaya penataan eksklusif agar tampak mewah meskipun reka bentuknya minimalis serta bersahaja dengan mengutamakan potongan jenis langsing.
Harga yang ditawarkan adalah dari RM250 hingga RM330 untuk koleksi wanita manakala RM200 -RM250 untuk koleksi lelaki. Anda boleh mula membuat pembelian pada penghujung bulan Mei 2016 di semua stokis His & Her sekitar Malaysia, Singapura dan Brunei.
Untuk keterangan lanjut, sila lawat laman Instagram His & Her di www.instagram.com/hh.hairulhanis