Uncategorized

Histeria Terlihat ‘Lembaga Hitam’: SMK Pengkalan Chepa 2 Ditutup Sementara

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
Histeria Terlihat ‘Lembaga Hitam’: SMK Pengkalan Chepa 2 Ditutup Sementara

Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, di sini memutuskan untuk menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam bagi menghalau ‘lembaga hitam’ yang didakwa dilihat oleh para pelajarnya.

IKLAN

Menurut pengetuanya, Siti Hawa Mat, kesemua pelajar dan guru juga diberi cuti peristiwa sehari selepas insiden gangguan bermula pada Isnin.

Siti Hawa memberitahu, serangan histeria yang bermula pada Isnin melibatkan 25 pelajar dan ia berulang sekali lagi pada Rabu apabila lebih 50 pelajar dan 11 guru diserang histeria.

Menurutnya, ini pertama kali peristiwa seumpamanya  berlaku di sekolah berkenaan yang dibina pada 2001.

Kesemuanya mendakwa terlihat satu ‘lembaga hitam’.

Foto -astroawani.com
Foto -astroawani.com

“Saya minta maaf kerana tidak bertanyakan (kepada pelajar) tentang bentuk hantu itu. Apabila mereka ditanya, kata mereka cuma ‘lembaga’. Biasanya kalau histeria, orang kata ‘lembaga hitam’ sahaja,” kata Siti Hawa dalam satu sidang media hari ini.

Menurutnya lagi, keadaan di sekolah terbabit sudah terkawal selepas pengamal perubatan Islam datang membantu.

Katanya lagi pelajar yang diserang histeria juga pulih sekitar tengah hari pada Rabu sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu seorang guru yang diserang histeria pada Rabu, Norlailawati Ramli memaklumkan gangguan bermula ke atas pelajar sebelum merebak kepada beberapa guru.

IKLAN

“Bila saya pegang dia (pelajar), memang terasalah macam berat tangan dan saya bacalah apa yang saya (ingat) dan beristighfar. Memang hilang kawalan masa itu, lepas dia balik, mula pada saya sebelah kiri memang ada macam orang berpaut.. nampak kelibat, macam hitam begitu,” kata Norlailawati.

Bagi seorang lagi guru, Kamariah Ibrahim, dia membaca ayat suci Al-Quran sejurus hilang kawalan kerana dipercayai dirasuk.

“Dia (lembaga hitam) macam nak masuk, tetapi kawan-kawan terus baca ayat (Al-Quran) di sekeliling. Rasa besar kepala, rasa kebas, air mata mengalir tidak berhenti, baca ayat Qursi, kepala jadi ringan adalah dalam masa sejam juga,” kata Kamariah.

Sesi persekolahan dengan 1,044 pelajar dan 84 guru ini akan meneruskan sesi persekolahan pada Ahad dengan pemantauan oleh beberapa ustaz dan pengamal perubatan Islam.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengulas, keputusan untuk menagguhkan sesi persekolahan SMK Pengkalan Chepa 2 itu boleh dikendalikan oleh pejabat pendidikan daerah.

“Panas pun cuti… Jerebu pun cuti… Histeria pun cuti. Biar peringkat pejabat pendidikan daerah (berurusan) dengan pengetua,” ujar beliau ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-55 di Kuala Terengganu pada Khamis.