Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik akur dengan permintaan pihak berkuasa yang memintanya menukar tajuk syarahan di Universiti Teknikal Malaysia di Melaka
Katanya, sebagai penceramah versatile, beliau perlu bersedia dengan sebarang perubahan termasuk menukar tajuk syarahan di saat akhir.
“Dengan apa yang berlaku ini, saya dapat rasakan jumlah hadirin yang akan datang ke syarahan umum saya di Melaka akan bertambah.
“Saya dapat rasakan penduduk Melaka semakin tidak sabar menantikan kehadiran saya.
“Ini adalah kali keenam kedatangan saya ke Malaysia dan setiap kali syarahan jumlah pengikut semakin bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai kontroversi pembatalan syarahan umumnya di Melaka.
Bagaimanapun, kerajaan memberi kebenaran syarahan umum itu diteruskan dengan syarat tajuknya perlu ditukar.
Terdahulu, Dr Zakir memberi syarahan bertajuk ‘Adakah Allah Wujud’ di perkarangan Sekolah Menengah Imtiaz Besut.
Lebih 5,000 orang hadir termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.