Air detoks lemon menjadi sebahagian minuman untuk tujuan detoks membuang toksin yang juga salah satu cara untuk menurunkan berat badan. Botol air berisi hirisan lemon ini selalunya menjadi bekalan wajib bagi mereka yang berdiet.
Tapi tahukah anda bahawa air lemon ini kalau diminum berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik untuk tubuh. Tiga perkara berikut mungkin anda alami jika mengambilnya terlalu banyak. Kurangkan pengambilannya jika kesan ini sudah anda rasai.
#Hakisan Gigi
Untuk pengetahuan anda, terlalu banyak mengambil makanan atau minuman berasid seperti air lemon bergelas-gelas akan menyebabkan gigi turut diselaputi asid. Hal ini mampu menghakis enamel gigi dan membuat gigi semakin sensitif pada makanan sejuk dan panas. Bagi melindungi gigi ketika minum minuman berasid, anda sebaiknya gunakan straw.
#Pedih Ulu Hati
Satu lagi hal adalah boleh mencetuskan pedih ulu hati. Pedih ulu hati ini akan menyebabkan rasa panas dan juga sakit di bahagian dada. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman berasid untuk mengelak serta mengurangkan simptom pedih ulu hati.
#Kerap Buang Air & Dehidrasi
Ini juga salah satu kesan sampingan yang mungkin anda alami jika terlebih minum air lemon. Buah ini mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi. Nutrien ini memang bersifat diuretik yang bermakna ia meningkatkan penghasilan urin oleh buah pinggang untuk membantu tubuh mengeluarkan cecair dan sodium berlebihan dengan cepat. Sekiranya anda merasai tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering, haus, pening kepala atau mengantuk segera kurangkan pengambilan air lemon.