Aktres Nora Danish tidak menolak kemungkinan menamatkan zaman hidup sendirian dengan jejaka pilihannya Nedim Nazri tahun ini selepas tiga tahun bercinta.
Nora berkata dirinya enggan mengadakan majlis perkahwinan kali kedua yang gah dan membazir, sebaliknya berlangsung dalam suasana sederhana.
“Ramai peminat mengharapkan agar hubungan saya dan Nedim berakhir di jinjang pelamin. Secara jujur saya tidak menolak andai kami berkahwin pada tahun ini juga.
“Cuma saya serahkan jodoh pada tangan Allah untuk menentukannya sebab kami belum berbincang dan merancang secara lanjut tentang soal perkahwinan,” katanya seperti laporan Kosmo! hari ini.
Nora pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli, anak bekas menteri besar Perak yang dikenali ramai sebagai Jejai, pada 2006 tetapi bercerai pada 2008.
Mereka dikurniakan seorang anak lelaki Putra Rayqal, 7.
Pelakon filem Suami Aku Ustaz itu berkata walaupun sudah mendapat restu secara terbuka daripada bakal bapa mertuanya Datuk Seri Nazri Aziz, namun enggan memberikan reaksi.
“Biarpun beliau memberi restu kepada kami untuk berkahwin tetapi saya tidak berani untuk mengemukakan maklum balas terhadap kenyataan beliau.
“Sebab dalam apa jua hal pun, saya tetap menghormati beliau sebagai seorang menteri,” kata Nora.
Menteri pelancongan dan kebudayaan minggu lalu berkata Nora dan Nedim “sudah besar, kalau sudah sama-sama suka, kahwin sajalah.”
“Dua-dua pernah kahwin dan ada anak,” kata Nazri lagi.
Mengulas foto percutiannya di Iceland bersama Nedim dan keluarga di Instagram, Nora berkata beliau menjalani penggambaran promosi tudung jenamanya OwlbyND selepas terpengaruh dengan filem Dilwale lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol.
“Saya berada di sana selama lapan hari dan menghabiskan masa selama empat hari untuk tujuan kerja, selebihnya bercuti bersama keluarga,” katanya.