Penghidap diabetes (kencing manis) kini boleh memanfaatkan Jardiance (empagliflozin), sejenis ubat preskripsi yang digunakan bersama diet dan senaman untuk mengurangkan gula darah di kalangan dewasa yang menghidap diabetes Jenis 2. Jardiance telah diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah pada 2014 dan kini ubat tersebut boleh didapati di sini di Malaysia.
Memandangkan seorang daripada enam rakyat Malaysia menghidap diabetes, populasi ini lebih cenderung mengalami kerumitan berkaitan diabetes seperti penyakit kardiovaskular, buta dan kegagalan buah pinggang.
Menurut Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) 2015, kekerapan diabetes di Malaysia adalah pada tahap 17.5% dan kira-kira 1.7 juta orang kini hidup dengan diabetes yang masih belum didiagnos. Statistik ini menunjukkan terdapat keperluan segera yang belum dipenuhi bagi rawatan baru yang berusaha mengurangkan tahap glukosa darah.
Info Jardiance
1. Jardiance ialah perencat pengangkut bersama glukosa natrium 2 (SGLT2) sangat terpilih yang diambil sekali sehari dan diluluskan sebagai rawatan bagi orang dewasa yang menghidap diabetes jenis 2.
2. Sebagai perencat SGLT2, Jardiance menyasarkan glukosa secara langsung dan bertindak secara bebas daripada fungsi sel β dan laluan insulin.
3. Jardiance juga mengurangkan penyerapan semula glukosa ke dalam aliran darah, membolehkan glukosa berlebihan mengalir menerusi air kencing, membolehkan perkumuhan glukosa kencing.
4. Perencatan SGLT2 didapati merupakan cara yang berkesan untuk mengurangkan glukosa darah dalam badan dengan kesan positif terhadap berat badan dan tekanan darah 3.
5. Ubat ini tidak sesuai bagi pesakit dengan diabetes Jenis 1.
6. Ubat ini juga terbukti mempunyai manfaat tambahan seperti membantu pesakit mencapai glycated hemoglobin (A1C) kurang daripada 7% dan mengurangkan paras gula darah puasa secara purata sebanyak 19 atau 25 mata (mg/dL)6.
7. Walaupun Jardiance tidak direka cipta untuk membantu pesakit mengurangkan berat badan atau mengurangkan tekanan darah, kajian mendapati bahawa ia membantu pesakit melakukan kedua-duanya, iaitu mengurangkan berat badan dan mengurangkan tekanan darah sistolik.
“Sebagai pengamal perubatan, kami gembira dan mengalu-alukan satu lagi pilihan rawatan bagi pesakit memandangkan tahap penularan diabetes yang tinggi di Malaysia. Kajian terhadap Jardiance menunjukkan hasil yang menggalakkan, dan kami harap ubat ini akan dapat membantu penghidap diabetes mengawal penyakit masing-masing dengan lebih baik,” kata Prof. Dr. Chan Siew Pheng, Pakar Runding Endokrinologi dan ahli majlis Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS).