Cinta dan perhubungan bukanlah sesuatu subjek yang ringkas. Mungkin ianya kelihatan mudah untuk seseorang melafazkan kata cinta tetapi kenyataannya?
Hati tidak pandai menipu. Tiada sesiapa yang bisa menghalang hati anda untuk berasa apa sekalipun. Hakikatnya, tiada ssesiapa yang lebih memahami diri kita melainkan diri kita sendiri.
Ya, anda patut tahu dan mengerti apa yang hati anda mahukan. Seperti kata orang, “ikut kata hati”. Sebelum anda mula jatuh cinta pada seseorang lelaki itu, ambil kira perasaan hati anda dahulu. Ingat? Anda mungkin akan menghabiskan sisa-sisa hidup anda bersama dengannya. Oleh itu, cari yang sebaiknya sebelum semua terlambut.
Ini bukanlah drama Sinetron mahupun siri dongeng putera puteri Disney, memaparkan kisah cinta yang diakhiri dengan frasa kata, “And they live happily ever after.” Jauh sama sekali. Dalam realiti, terlalu banyak pancaroba yang harus diharungi oleh setiap pasangan di dunia ini.
Tidak dinafikan juga, dalam linkungan umur 20-an inilah subjek cinta berkenaan telah mula menjadi rumit. Tidak seperti zaman cinta monyet di sekolah dahulu, “Kalau kau tinggalkan aku, aku carilah yang lain” atau “Sekali aku petik, sepuluh yang datang”. Kini, ia tidak semudah itu kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.
Sebagai panduan berguna, tanyalah soalan-soalan yang berikut sebelum anda mengambil risiko untuk menggadaikan hati anda pada lelaki yang mungkin memusnahkan harapan kebahagiaan masa hadapan anda.
“Adakah aku selesa menjadi diri sendiri tatkala bersama dengannya?”
Ramai diantara gadis mahupun wanita yang beranggapan bahawa kita mesti menjadi seseorang yang unik dan istimewa demi memenuhi kriteria cliché seperti yang kebanyakkan lelaki idamkan. Kolot. Sampai bila anda boleh berpura-pura untuk hidup dalam badan dan jiwa yang bukan milik anda?
“Adakah aku benar-benar mencintainya atau ianya cuma sekadar idea pemikiran aku terhadapnya?”
Anda tahu si dia jenis panas baran, kasanova tetapi anda masih bertahan kerana dia kaya, dia kacak, dia cuma perlukan sedikit masa, dia cuma sedang runsing, dia cuma… sedangkan hati anda sakit bagai diremuk. Oh, tidak! Jangan merelakan diri anda untuk terlibat dalam hubungan yang seperti telur dihujung tanduk.
“Adakah keluarga aku dapat menerima dirinya?”
“Bukannya aku tak tegar, bukan pula aku tak cinta. Kerana orang tua yang tak merestui cinta kita.” Haa… ingat lagi lirik lagu kugiran Iklim ni? Ye lah, nak buat macam mana kalau ibu dan ayah kita tak merestui hubungan kita. Tiada siapa yang dapat menepis naluri si ibu atau ayah kerana sangkaan mereka selalunya benar. Pasti ada sebabnya. Jadi anda harus bertindak bijak, fikirkan yang terbaik. Bukan kahwin lari tahu?!
“Sejauh mana pentingnya perhubungan kepada diri aku sekarang ini?”
Adakah kerana umur anda yang semakin meningkat menjadi faktor mengapa anda kelam-kabut mencari pasangan hidup? Usah risau dan anda sebenarnya tidak perlu tergesa-gesa. Buat apa tergesa-gesa sehingga tersalah membuat pilihan. Jangan mengundang padah. Komitmen itu penting. Jika anda tidak bisa mengorbankan masa dan tenaga untuk tumpu pada perhubungan anda, ia ibarat tumbuhan dalam pasu. Sedangkan kaktus yang bisa bertahan lama pun boleh layu dan mati. Pertimbangkan.
“Adakah kita berdua punyai matlamat dan nilai jangka masa panjang?”
Anda berdua punyai minat yang sama, banyak persamaan dan disertai pula dengan sifat mengerti (memahami satu sama lain), ia pasti bisa merangsang kebahagiaan berkekalan antara anda berdua. Baguslah. Jika anda berdua tidak mempunyai matlamat dan nilai jangka masa panjang sebegitu, hubungan anda mungkin tidak akan terbang jauh.
Semoga anda menemui cinta sejati!