Gedung terkemuka barangan, perabot dan perkakas rumah terbesar IKEA Malaysia membuka pintu cawangan keduanya di Cheras 19 November lalu. Pembukaannya umpama mimpi menjadi kenyataan apabila ramai individu yang sanggup menunggu di luar seawal jam 6 pagi bagi merebut peluang mendapatkan potongan harga yang melampau pada hari pertama pembukaan Ikea Cheras berkenaan.
Suasana meriah dan hingar-bingar jeritan orang ramai memenuhi seluruh pelusuk bangunan seluas 42, 000 meter persegi itu. Ianya juga 20% lebih besar berbanding IKEA Damansara. Pilihan barangan yang lebih menarik terdiri daripada 8,500 produk turut disajikan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong jenama gedung yang berasal daripada Sweden itu.
Kawasan Jalan Cochrane dipilih kerana lokasinya yang strategik iaitu hanya lima minit pemanduan dari pusat bandar raya, disamping kemudahan MRT Cochrane yang dijangka siap pada 2017. Mercu tanda ikonik baharu ini melihat potensi dalam mengubah Cheras sebagai destinasi beli-belah yang bertenaga sebagaimana di Mutiara Damansara.
“IKEA kini lebih hampir dengan jiwa para pelanggan utamanya. Ia bakal menyediakan akses yang lebih mudah bagi membolehkan pelanggan memilih rangkaian penyelesaian hiasan rumah ala Sweden, disamping seleksi rekaan barangan yang lebih menarik, berfungsi, bermutu dan pada harga yang benar-benar murah walaupun pada hakikatnya GST telah dilangsungkan.”
“Lebih ramai rakyat Malaysia akan berpeluang menikmati pengalaman yang unik serta konsisten di gedung IKEA yang sememangnya sedia diketahui dan digemari ramai,” jelas Mike King, Pengarah Peruncitan IKEA Malaysia, Singapura dan Thailand.
Sepanjang minggu pembukaan, IKEA Cheras telah menyediakan pelbagai aktiviti gedung yang menarik untuk seisi keluarga termasuk kemunculan khas oleh Panda, lukisan muka, persembahan badut, belon percuma untuk kanak-kanak dan banyak lagi. Gedung akan dibuka dari 9.30 pagi – 10.00 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9.30 pagi – 11.00 malam (Jumaat – Ahad, hari perayaan, dan cuti umum)
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ikea.com