David Beckham buat pertama kalinya dipilih sebagai lelaki paling seksi di dunia tahun 2015 oleh majalah terkemuka, People.
Pemilihan itu dibuat berdasarkan reputasi dan kejayaan gemilang yang dikecapi oleh bapa kepada empat orang anak itu sepanjang dua dekad menjadi seorang bintang mega dunia.
Lebih manis apabila gelaran itu diberikan kepada Beckham bagi menyambut ulang tahun ke-30 keluaran istimewa tahunan majalah itu yang kali pertama diperkenalkan pada 4 Februari 1985.
Dalam temu bualnya bersama majalah itu untuk keluaran istimewa itu, Beckham sama sekali tidak menyangka namanya dipilih untuk gelaran itu yang sebelum ini pernah kerap diberikan kepada aktor pujaan ramai di Hollywood.
Biarpun sering dilabelkan sebagai seorang simbol seks sejak 20 tahun lalu, tetapi bagi Beckham, gelaran itu bukanlah sesuatu yang dikejar sejak menceburi bidang sukan dan seterusnya bidang perniagaan.
“Bagi saya, ini adalah satu penghargaan dan saya menerimanya dengan berbesar hati dan penuh terbuka sekali. Saya sendiri tidak merasakan bahawa saya layak untuk diberi gelaran seperti ini.
“Bayangkan, saya tidak pernah melihat diri saya sebagai seorang lelaki yang menawan dan seksi. Tetapi, saya akui bahawa saya gemar memakai pakaian yang sedap mata memandang terutama sut yang menjadikan saya lebih berketerampilan.
“Tetapi, bukan untuk menjadi saya seksi atau menawan kerana itu sesuatu yang sangat subjektif. Terpulang kepada penilaian masing-masing,” ujar Beckham kepada majalah itu lagi.
Malah, Beckham sempat berkongsi cerita bagaimana reaksi isterinya, Victoria tatkala dia menyampaikan berita tentang pemilihannya sebagai lelaki paling seksi di dunia. Jelas Beckham yang dilahirkan pada 2 Mei 1975 itu, isterinya hanya mengucapkan tahniah kepadanya sambil merenung tajam ke wajahnya bagaikan seperti tidak percaya gelaran itu diberikan kepadanya.
“Saya berharap dia juga melihat dan merasakan saya juga seksi setiap masa. Bahkan, sewaktu berbicara dengan anak-anak lelaki saya tentang perihal ini, mereka juga ketawakan saya dan hampir tidak percaya sehinggakan anak sulung saya, Brooklyn berkata Majalah People tersilap memilih kerana sepatutnya dia lebih layak memegang gelaran itu,” ujar Beckham.