Pusat Perubatan Sunway (SunMed) hari ini meraikan Hari Diabetes Sedunia bagi tahun keempat berturut-turut, yang merupakan sebahagian daripada tumpuan lima tahun dalam usaha mewujudkan kesedaran diabetes.
Sambutan tersebut yang bertemakan Hapuskan Diabetes, telah dirasmikan oleh Dr Balachandran Satiamurti, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, diiringi oleh Choo Voon Chee, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway dan Chua Hong Wee, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia.
Dengan meraikan Hari Diabetes Sedunia, SunMed bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan memberi kuasa kepada rakyat untuk mengawal diabetes. Selaras dengan matlamat antarabangsa sambutan itu, SunMed ingin menyebarkan kesedaran mengenai pencegahan dan pengurusan diabetes dan komplikasinya, termasuk berkongsi maklumat mengenai tanda-tanda amaran diabetes, menggalakkan diagnosis awal, serta menggalakkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko kencing manis jenis II.
Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan bahawa 3.2 juta penduduk Malaysia mempunyai diabetes dan kira-kira 50% daripada mereka masih belum dikenal pasti, dengan jumlah bilangan pesakit kencing manis dijangka meningkat sebanyak 50% lagi menjelang 2035.
Ramai pesakit diabetes berakhir dengan kegagalan buah pinggang, dengan statistik menunjukkan bahawa kira-kira 60% daripada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang di Malaysia turut menghidapi diabetes – salah satu daripada nisbah tertinggi di dunia. Malah, lebih 5,000 kes-kes kegagalan buah pinggang baru didiagnosis setiap tahun.
Sempena Hari Diabetes Sedunia, SunMed telah mengadakan siri pameran bergerak di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan pameran bergerak utama yang diadakan di Sunway Pyramid dari 13 hingga 15 November 2015.
Di pameran bergerak, orang ramai boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma, bermain permainan interaktif dan menerima hadiah percuma yang menarik, serta pertandingan mewarna dan pertandingan fesyen untuk kanak-kanak dengan hadiah wang tunai dan hamper untuk dimenangi.
Untuk maklumat lanjut pertandingan tersebut, sila layari http://www.sunwaymedical.com/news-events/community-events/happy-kidney-campaign.