Hanya kerana merakamkan suaminya meraba orang gaji, seorang wanita dari Arab Saudi mungkin akan dipenjarakan.
Wanita tersebut yang berang dengan perangai suaminya kemudian memuat naik video itu ke laman Facebook dengan kapsyen “Hukuman yang paling ringan buat suami seperti ini adalah dengan memalukannya”.
Dengan pantas, video itu menjadi viral di laman media sosial dan wanita terbabit kini mungkin dikenakan tuduhan cuba memfitnah dan menghadapi hukuman penjara setahun.
Majid Waroob, seorang peguam di Arab Saudi, memberitahu akhbar tempatan wanita terbabit mungkin telah melanggar salah satu undang-undang teknologi di Arab Saudi.
“Undang-undang ini memaktubkan hukuman berat kepada sesiapa yang menggunakan telefon bimbit berkamera atau alat lain untuk mengambil gambar seseorang dan memfitnah mereka,” kata Qaroob.
Bagaimapun, tindakan wanita tersebut menyebar video itu mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.
Momina Makin menulis “Lelaki itu melanggar hukum Islam. Pertama dia telah melakukan zina. Kedua, dia melakukan serangan seksual. Lelaki ini patut dibogel dan dirotan di jalanan dihadapn semua orang. Ini hukuman setimpal untuknya”.
Seorang blogger Al Mezzen berpendapat perbuatan wanita itu menyebar video adalah salah.
“Dia tidak tahu cara untuk mengawal situasi itu. Apa yang telah dia lakukan adalah menyebarkan aib dan masalah peribadinya untuk dilihat oleh semua orang,” kata blogger.