“Pagi ini (semalam) adalah paling indah di Pekanbaru sejak sebulan lalu,” kata Sara Ahmad, 21, pelajar Universiti Islam Riau, Pekanbaru.
Gadis itu berkata, semalam juga adalah hari pertama masyarakat di Pekanbaru melihat matahari terbit selepas langit di bandar itu diselubungi jerebu tebal menyebabkan dia dan rakannya, Puja Pangestu, 19, teruja untuk keluar beriadah.
Mereka bersama ratusan lagi penduduk keluar sejak 6.30 pagi berkumpul di Jalan Diponegoro, di sini, berhampiran pejabat Gabenor Wilayah Riau yang juga lokasi tumpuan penduduk tempatan untuk beriadah setiap hujung minggu.
“Walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih menunjukkan bacaan berbahaya, kami mahu menggunakan kesempatan cuaca cerah hari ini untuk beriadah kerana sudah lama tidak menikmati suasana pagi yang cantik seperti ini.
“Saya memang teruja melihat matahari pagi ini (semalam). Masyarakat yang hadir kelihatan ceria kerana sebelum ini aktiviti riadah terpaksa dihadkan dan tidak kurang ada yang terus menghentikannya.
“Bagi yang risau mengalami masalah kesihatan akibat jerebu, mereka akan memakai topeng muka. Namun bagi yang sudah biasa dengan jerebu lebih selesa beriadah tanpa memakai topeng muka,” katanya.
Sara berkata, dia amat berharap keadaan jerebu segera pulih dan jika keadaan itu berterusan, sekolah juga dijangka dibuka semula hari ini selepas ditutup sejak tiga minggu lalu.
Sementara itu Puja berkata, atas sebab keselamatan, dia memilih untuk memakai topeng muka walaupun ada antara penduduk yang tidak menggunakan alat keselamatan itu ketika berada di luar rumah.
“Ada yang sudah lali kerana kami berhadapan masalah jerebu setiap tahun, namun kali ini dianggap yang paling teruk dan berlarutan dalam tempoh agak panjang,” katanya.
Tinjauan mendapati penduduk menggunakan kesempatan cuaca baik, semalam untuk bersenam, menunggang basikal dan membawa keluarga bersiar-siar.