Selera makan seseorang bukanlah boleh dijangka. Kadang-kadang apabila tiba mood mengidam nak makan itu ini dalam diri, sampai tak terlayan dibuatnya betul tak? Mengalahkan orang mengandung!
Tapi buat apa susah-susah, ada caranya bagaimana nak penuhi keinginan anda, tetapi yang ini khas buat penggemar tegar aiskrim!
Untuk penggemar aiskrim di luar sana! Anda tak perlu ke kedai semata-mata untuk dapatkan secawan aiskrim mahal yang harganya mencecah belasan ringgit satu skop.
Baiklah, hari ni kita akan belajar macam mana nak buat aiskrim berinspirasikan rona tema biru kehijauan Tiffany & Co.
Yang menariknya, resepi ini tak perlu guna mesin pembuat aiskrim pun! Anda dah sediakan pen dan kertas? Jom salin resepi Tiffany Blue Ice-Cream mudah ini!
Bahan-Bahan:
1. 200ml Krim Putar (Whipping Cream)
2. 120ml Susu Pekat
3. 1.5 camca teh Ekstrak Vanilla
4. Pewarna Makanan Berwarna Hijau Kebiruan (Tiffany’s Blue)
Cara-caranya:
1. Mula-mula, campur dan gaulkan susu pekat bersama ekstrak vanila itu tadi sehingga rata.
2. Kemudian masukkan krim putar seperti jumlah yang dinyatakan itu tadi ke dalam mangkuk besar, pastikan mangkuk yang digunakan itu kering. Harus diingatkan juga, krim putar mesti sejuk (bukan beku).
3. Gaulkan krim putar menggunakan mesin pemutar selama 3 hingga 4 minit dengan kelajuan serdehana. Seterusnya, selangkan juga teknik adunan bersama pukulan tangan selama 7 minit.
4. Setelah adunan krim putar menjadi gebu dan lebih pekat, tambahkan pewarna hijau kebiruan itu tadi sedikit demi sedikit. Cuba beberapa titik dahulu kerana jika anda terlebih meletakkan pewarna, agak sukar bagi anda untuk mengurangkan kembali warna berkenaan. Rona Tiffany’s Blue tidak begitu pekat dan tidak begitu cair.
5. Adunkan krim putar bersama pewarna sehingga teksturnya agak berat.
6. Langkah seterusnya, campurkan kedua-dua adunan awal krim putar bersama susu pekat sehingga rata dan tidak bergumpal. Gaulkan mengikut arah putaran jam perlahan-lahan agar dapat mengawal kemasukkan udara ke dalam adunan.
7. Akhir sekali, cari bekas yang bersesuaian untuk meletakkan hasil adunan aiskrim berkenaan. Sebaiknya, cari bekas aluminium atau besi. Tutup bekas tersebut dengan plastik pembalut makanan dan ia siap untuk dibekukan.
Untuk hasil yang lebih baik, biarkan ia semalaman di dalam peti ais sebelum anda menikmatinya!
Ha apa tunggu lagi? cubalah hasilkan aiskrim anda sendiri dengan resepi mudah ni!
Nota: Kalau nak rasa kerangupan bersama aiskrim, boleh tambah hiasan seperti kacang tabur atau cornflakes! Selamat mencuba!
SUMBER – Resepi Tiffanny Blue Ice-Cream