Bakal ditayangkan pada 3 September, setiap hari Khamis jam 9 malam di Lifetime (Saluran Astro 709), tiga “chef rumah” (home chefs) dari Malaysia akan beradu di edisi sulung pentas MasterChef Asia, rancangan pertandingan masakan paling berjaya di dunia. Mereka bukan hanya bertanding untuk diri sendiri, tetapi juga mewakili negara masing-masing dalam usaha untuk merebut gelaran utama MasterChef Asia.
Malaysia diwakili dengan bangganya oleh Jasbir Kaur, Marcus Low dan Sophia Zulkifli.
Jasbir yang berumur 54 tahun merupakan peserta paling matang dalam pertandingan ini. Beliau mula menanam minat dalam bidang memasak apabila berpindah ke Sarawak, Malaysia Timur selepas berkahwin. Seorang suri rumah dan ibu kepada tiga orang anak, beliau berhasrat untuk menyampaikan kemahiran kulinari masakan tradisional Punjabi kepada generasi muda. Beliau juga berharap untuk mendapat pentauliahan profesional untuk kemahiran memasaknya dan membuktikan bahawa chef di rumah juga boleh mempamerkan kemahiran yang hebat di dapur.
Marcus, seorang pengurus bank berusia 24 tahun, mendapat inspirasi daripada chef-chef terkenal, serta hidangan moden dan molekular; dan mempunyai kemahiran unik dalam penggabungan bahan. Mampu bekerja dengan baik walaupun dalam situasi tertekan, beliau percaya persaingan sengit dalam MasterChef Asia akan memperkenalkannya kepada dunia kulinari dan memberikannya peluang untuk memperkenalkan sajian Malaysia di pentas dunia.
Sophia, seorang suri rumah berusia 30 tahun dan ibu kepada anak perempuan berusia dua tahun, memasak setiap hari dan sering menyediakan hidangan untuk keluarga dan rakan-rakannya. Suatu hari nanti, beliau berharap untuk terlibat dalam dunia kulinari sebagai chef, katerer atau pengkritik makanan. Minatnya yang meluas dalam industri makanan menunjukkan kecintaannya terhadap makanan dan memberikannya inspirasi untuk menyertai MasterChef Asia.
Bakal menjadi pesaing mereka bagi mendapatkan gelaran utama adalah chef-chef rumah lain dari negara Cina, India, Indonesia, Singapura, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Pemenang MasterChef Asia pertama bakal menerima buku masakan sendiri, hadiah wang tunai USD$50,000, pengalaman riadah unik di Singapura bernilai USD$10,000, perkakas rumah Panasonic bernilai USD$15,000, latihan amali berbayar di salah sebuah restoran Hotel Carlton Singapura dan penginapan selama seminggu di Disneyland Resort Hong Kong.
Para juri Masterchef Asia turut mempunyai latar belakang dinamik, daripada seorang pengusaha restoran yang pernah memenangi anugerah dan pakar hidangan fusion, Susur Lee hinggalah kepada chef dengan 3 Bintang Michelin dan penasihat kulinari Chef Bruno Ménard, dan Audra Morrice yang disayangi ramai, peserta MasterChef Australia, pemilik bisnes katering dan penulis buku masakan.
MasterChef Asia Musim Pertama dipersembahkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura dan Knorr, dengan kerjasama Panasonic, Changi Airport Group, Hotel Carlton Singapura dan Air Asia.
Siri ini akan ditayangkan pada 3 September, setiap hari Khamis jam 9 malam di Lifetime (Saluran Astro 709). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di msn.com/masterchefasia.
MasterChef diwakili di peringkat antarabangsa oleh Endemol Shine Group. Rancangan ini pada asalnya dirakam semula sebagai MasterChef Goes Large pada 2005 oleh Shine TV di UK dan berdasarkan format yang direka oleh Franc Roddam.