Terkini, penonton lelaki dan perempuan yang menyaksikan acara hiburan atau konsert di tempat yang sama kini mesti dipisahkan. Selain itu, penganjur hendaklah memastikan pergaulan bebas antara peserta lelaki dan perempuan ketika mengadakan sesi latihan atau raptai bagi sesuatu acara berbentuk hiburan, tidak berlaku.
Garis panduan edisi kedua yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada semua penganjur acara hiburan tanah air yang juga telah diperakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 dan 11 Februari 2015.
Antara lain garis panduan itu menyatakan program yang dianjurkan tidak mengandungi perkara-perkara berikut:
1. Unsur-unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan ajaran Islam secara langsung atau tidak langsung;
2. Perbuatan yang diharamkan dalam Islam atau maksiat serta perkara yang boleh mendorong kepada keadaan-keadaan tersebut;
iii. Keadaan yang membawa kepada kekacauan atau gangguan terhadap ketenteraman awam;
1. Acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan; dan
2. Pembaziran dalam penganjuran program.
Menurut garis panduan itu, JAKIM melakukan penambahbaikan terhadap berberapa peraturan agar ia menepati keperluan semasa sejajar dengan kehendak syarak. Unsur yang mempromosikan pemikiran atau kefahaman ajaran selain daripada Islam hendaklah dielakkan dalam program hiburan menurut perspektif Islam.
Bagi artis pula, garis panduan itu menetapkan mereka mesti memiliki keperibadian yang mulia dan akhlak yang baik sama ada di luar atau ketika persembahan, selain tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada mengikut undang-undang syariah atau sivil.