Pesakit kencing manis yang beragama Islam berkemungkinan menghadapi risiko komplikasi berkaitan dengan penyakit kencing manis seperti hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi yang lebih tinggi ketika mereka berpuasa di bulan Ramadan.
Perubahan yang berlaku dalam tubuh anda sebagai tindak balas terhadap aktiviti berpuasa adalah bergantung kepada tempoh anda berpuasa. Tubuh anda akan memasuki fasa berpuasa lebih kurang lapan jam setelah anda menikmati hidangan terakhir, apabila usus anda telah selesai menyerap semua nutrisi dari makanan yang anda ambil. Ringkasnya, tubuh anda akan mula menggunakan sumber glukosa yang tersimpan (gula darah) untuk menjana tenaga, dan pada peringkat selanjutnya dalam tempoh berpuasa akan mula menguraikan lemak tubuh anda sebagai sumber tenaga yang seterusnya.
Pesakit kencing manis yang berpuasa mungkin akan mengalami kesan sampingan akibat dari menahan diri dari mengambil sebarang makanan dan minuman. Kesan yang paling biasa dialami adalah hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi.
Hipoglisemia, atau kandungan gula rendah yang tidak normal dalam darah, boleh berlaku sekiranya makanan tidak diambil dalam tempoh masa yang panjang. Kajian Epidemiologi Kencing Manis dan Ramadan (EPIDIAR) menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5 kali ganda kemasukan ke hospital bagi pesakit kencing manis jenis 2 akibat dari hipoglisemia yang teruk. Satu kajian tempatan yang dilaksanakan menunjukkan bahawa kadar hipoglisemia adalah 1.6 kali lebih tinggi semasa tempoh berpuasa berbanding tempoh tidak berpuasa.
Kajian EPIDIAR yang sama menunjukkan peningkatan sebanyak lima kali ganda akibat dari hiperglisemia yang teruk, atau kandungan gula dalam darah yang tinggi yang memerlukan pesakit kencing manis jenis 2 dimasukkan ke hospital. Hiperglisemia mungkin terjadi akibat dari kesan ubatan yang berkurangan untuk mengawal hiperglisemia.
Yang lebih penting lagi adalah untuk menasihatkan pesakit mengenai risiko hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi, bagaimana untuk mengenal pasti simptomnya, dan, jika perlu, berhenti berpuasa. Nasihat lain yang berguna turut meliputi pelaksanaan aktiviti fizikal dan menyesuaikan jadual pengambilan ubat.
Panduan baru pengurusan kencing manis semasa bulan Ramadan diterbitkan khusus bagi pakar perubatan yang memantau pesakit beragama Islam yang menghidapi kencing manis. Ia berfungsi untuk membantu pakar perubatan agar dapat mengurus serta menyediakan pesakit mereka untuk menghadapi tempoh berpuasa yang panjang.
Apapun, bagi pesakit kencing manis yang beragama Islam yang ingin berpuasa di bulan Ramadan ini, rujuklah kepada doktor anda mengenai pengurusan kencing manis yang betul di Ramadan.