Kegembiraan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mendapat cahaya mata ketiganya, Raif Averroes, turut dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata kehadiran ‘Leo’ diharap akan memberi kebahagiaan kepada menteri itu.
“Semoga bertambah bahagia!” kata Najib dalam reaksi balas Twitternya kepada Khairy.
Isteri Khairy, Nori Abdullah selamat melahirkan anak lelaki ketiga mereka pada jam 3.53 petang, 23 Mac.
Menerusi laman Facebooknya, Khairy yang lebih mesra dengan panggilan KJ menyatakan rasa gembiranya dengan berkongsi gambar beliau memangku anaknya yang diberi nama Raif Averroes.
“Anak lelaki ketiga kami diberikan nama Raif Averroes. Nama timangannya adalah ‘Leo’.”
“Terima kasih kepada semua yang telah menghantar pesanan tahniah melalui SMS, Whatsapp dan media sosial. Kami amat terharu dengan ucapan rakan-rakan semua.”
“Enam tahun tak mandikan baby. Pagi tadi bila cuba, jururawat kata dah kekok. Kena belajar baliklah nampaknya,” katanya dalam status di laman Facebook beliau.
Khairy dan Nori, anak perempuan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mendirikan rumah tangga pada Oktober 2001.
Mereka sebelum ini dikurniakan dua orang anak lelaki yang bernama Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar dan Timur Abdullah Jamaluddin Abu Bakar. – The Rakyat Post