Berita Harian melaporkan bekas perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew meninggal dunia pada usia 91 tahun, kata Pejabat Perdana Menteri.
“Encik Lee meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada kira-kira jam 3.18 pagi tadi,” kata kenyataan itu.
Bekas pemimpin republik itu dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) sejak 5 Februari lalu kerana mengalami radang paru-paru yang teruk dan beliau terpaksa menerima alat bantuan pernafasan.
Lee, seorang peguam lulusan Cambridge disifatkan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab menjadikan Singapura sebagai salah sebuah negara terkaya berdasarkan pendapatan per kapita yang tinggi.
Mendiang adalah pengasas pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak 1959 dan mengetuai negara itu berpisah daripada Malaysia pada 1965.