Terkini, laporan stesen penyiaran tempatan, Channel NewsAsia, keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, 91 tahun, semakin bertambah teruk akibat jangkitan kuman.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini hari ini, Kuan Yew kini sedang diberikan ubat antibiotik dan sekumpulan doktor pakar akan terus memantau keadaannya. Bekas pemimpin republik itu dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) sejak 5 Februari lalu kerana mengalami radang paru-paru yang teruk dan beliau terpaksa menerima alat bantuan pernafasan.
Berita terbaharu keadaan kesihatan beliau yang kritikal difahamkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada suasana politik tempatan kerana Singapura bakal merayakan Jubli Emas hari kemerdekaan ke-50 tahun pada 9 Ogos ini. Anak sulung beliau, Lee Hsien Loong, 63 tahun, kini merupakan perdana menteri ketiga republik tersebut sejak mengambil alih pemerintahan Singapura daripada Goh Chok Tong pada 2004.
Agensi & Mynewshub