Apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, mereka akan menempuh pelbagai cabaran baru. Pastikan mereka mendapat makanan yang berkhasiat bagi membantu mereka menghadapi alam persekolahan yang lebih baik. Ini kerana kajian mendapati anak-anak yang mengamalkan pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang akan menjalani hari yang lebih baik di sekolah. Oleh itu, ibubapa haruslah memainkan peranan dan memberi lebih perhatian untuk memastikan tentang pemakanan seharian anak-anak.
Disini ada beberapa panduan yang boleh ibubapa ikuti :
1) Cuba sediakan makanan di rumah sekerap yang boleh dan makan bersama-sama sekeluarga. Ini kerana hidangan yang disediakan di rumah dan perancangan menu yang bijak dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Ketika merancang menu untuk anak-anak, perkara-perkara berikut perlu dipatuhi, kepelbagaian sumber makanan dalam makanan agar anak mendapat makanan yang berkhasiat dan seimbang. Tidak menghidangkan makanan yang sama berulang kali, menyediakan makanan yang menarik seperti masakan sayur yang terdiri daripada pelbagai warna sayuran, menyediakan makanan yang anak anda boleh makan seperti tidak terlalu masam, masin atau pedas.
2) Rancang hidangan harian yang terdiri daripada 3 hidangan utama iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam dan 2 snek iaitu minum pagi dan minum petang untuk memastikan anak-anak mendapat nutrien yang mencukupi setiap hari. Ambil kira waktu anak anda pergi ke sekolah dan pulang dari sekolah ketika merancang waktu makan anak.
3) Pastikan anak-anak mengambil sarapan pada setiap hari agar mereka bertenaga sebelum memulakan pembelajaran di sekolah. Sarapan amat penting untuk meningkatkan tumpuan mereka di dalam kelas. Pastikan mereka mengambil sarapan sama ada di rumah atau di sekolah. Apabila hendak ke sekolah, berikan masa yang secukupnya untuk anak-anak menghabiskan hidangan dan tidak dalam keadaan yang tergesa-gesa. Ketika pulang dari sekolah, hidangkan makanan selepas anak berehat sebentar kerana lazimnya anak berasa letih apabila pulang dari sekolah. Bekalkan anak-anak dengan makanan yang berkhasiat untuk mereka bawa ke sekolah. Bagi yang bersekolah pada sesi petang, pastikan mereka makan sebelum ke sekolah untuk mendapat tenaga harian yang secukupnya.
4) Hidangkan makanan utama dan snek yang merangkumi 5 kumpulan makanan dalam piramid makanan malaysia. Makanan-makanan dalam kumpulan ini boleh dimasukkan sama ada ke dalam hidangan utama atau snek atau kedua-duanya sekali. Sebagai contoh, buah yang boleh dimasukkan ke dalam makanan tengahari dan dijadikan snek semasa minum petang.
5) Sediakan hidangan utama yang mengandungi sumber bijirin, ikan, ayam, daging, telur, buah-buahan dan sayur-sayuran contohnya nasi yang dihidangkan bersama ayam masak kicap, sup bayam dan tembikai.
6) Sediakan snek yang berkhasiat untuk anak-anak seperti sandwich, jagung atau kacang rebus, buah-buahan, susu dan dadih. Elakkan anak-anak mengambil snek yang terlalu manis dan melekit seperti gula-gula yang boleh melekat pada gigi dan akan akan menyebabkan kerosakan gigi. Pengambilan yang tinggi kandungan garam seperti jeruk perlu dielakkan. Ajar anak kepentingan pengambilan snek yang berkhasiat serta awasi apa yang mereka makan di rumah dan di sekolah. Walaubagaimanapun, pastikan anak-anak tidak mengambil snek terlalu hampir dengan waktu makan utama.
7) Didik anak anda dan pastikan mereka tahu khasiat makanan yang mereka makan, ajar mereka supaya sentiasa membaca label dan didik mereka tentang bahaya lemak tepu, garam serta gula yang berlebihan. Beri penerangan kepada mereka mengenai iklan makanan yang kurang berkhasiat di televisyen dan yang paling penting adalah memastikan ibubapa juga mengamalkan cara pemakanan yang sihat agar menjadi contoh terbaik buat anak-anak.
Sumber: MyHealth