Kecantikan, Kesihatan, Pilihan

Nak Cepat Cantik, Wanita Salah Guna Ubat Cerah Kulit

Malisa Aina
/
Introvert yang hujung minggu dihabiskan dengan melayan Netflix.
Nak Cepat Cantik, Wanita Salah Guna Ubat Cerah Kulit
www.iklan-percuma-portal.com
www.iklan-percuma-portal.com

Lumrah untuk wanita miliki kulit wajah yang cerah, kilat bercahaya dan juga bersih daripada jeragat dan jerawat. Dan disebabkan itulah tidak hairan produk kosmetik untuk tujuan itu semakin meningkat permintaannya. Lihat sahaja di laman media sosial, bertapa banyak yang menjual pelbagai produk kecantikan, ada yang jenis krim muka, facial mask, minuman kolagen, suntikan vitamin dan pelbagai lagi. Fenomena ini semakin berleluasa apabila ramai pengguna, terutama wanita, berani mengambil ubat secara oral atau suntikan untuk mencerahkan kulit selain produk kosmetik.

IKLAN

Antara ubat yang semakin berleluasa dijual secara tidak sah di media sosial dan blog adalah asid Tranexamic. Penjualan ubat ini bertujuan mencerahkan kulit dengan mengambilnya secara oral atau suntikan. 

Ubat ini juga dijual secara kombinasi dengan suntikan vitamin C bagi memberi kesan lebih ketara kepada penggunanya. Namun, adakah indikasi sebenar ubat asid Tranexamic untuk memutihkan kulit? Setiap ubat yang didaftar dengan Kementerian Kesihatan adalah dengan indikasi tertentu bersama bukti kajian klinikal.

maxbeautysolution.blogspot.com
maxbeautysolution.blogspot.com

 

1. Ubat asid Tranexamic didaftarkan untuk mengawal pendarahan daripada terus berlaku. Ubat ini akan memastikan proses pembekuan darah terus utuh dan pendarahan dapat dielak atau dihentikan.

2. Ubat ini kerap digunakan doktor dalam situasi pesakit wanita mengalami pendarahan haid tidak berhenti atau pesakit mengalami pendarahan hidung yang berterusan.

3. Ubat ini juga digunakan untuk mengawal pendarahan ketika dan selepas pembedahan prostat, pendarahan organ yang abnormal seperti di paru-paru dan buah pinggang serta rawatan mengubati gejala seperti eritema, bengkak dan gatal kulit teruk.

4. Antara kesan sampingan umum ubat asid Tranexamic adalah pening kepala, sakit sendi, sakit dan kekejangan otot, saluran hidung tersumbat, sakit perut dan badan lesu.

5. Kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan segera pula adalah kesan alergi (ruam, gatal kulit, sukar bernafas, bengkak pada muka, bibir atau lidah), sakit kaki, bengkak dan sakit seluruh badan, sakit dada, dada berasa ketat dan sukar bernafas, keliru, batuk berdarah, kurang atau susah membuang air kecil, gangguan penglihatan warna dan kabur, rasa kebas pada lengan atau kaki, sawan, pening teruk, pendek pernafasan, muntah dan kelesuan luar biasa.

IKLAN

6. Ubat asid Tranexamic tidak boleh digunakan jika pesakit mempunyai sejarah alergi terhadap ubat ini, mengalami penyakit tromboembolik, gangguan penglihatan warna, wanita mengalami masalah pendarahan haid tidak teratur, individu mengalami pendarahan otak, darah dalam air kencing atau pendarahan akibat masalah buah pinggang, ibu mengandung dan menyusukan anak serta individu menggunakan ubat kontraseptif estorgen dan progesterone.

7. Individu mempunyai masalah pembekuan darah atau situasi yang meningkatkan risiko pembekuan darah juga tidak boleh menggunakan ubat ini. Sebagai contoh, pesakit yang ada masalah injap jantung atau degupan jantung.

8. Ubat asid Tranexamic membantu memberhentikan pendarahan, justeru penggunaannya tanpa pemantauan doktor sangat berbahaya kerana dikhuatiri berlaku tromboembolisme, yang mana gumpalan darah berlaku dalam salur darah dan hanyut bersama aliran darah.

9. Seterusnya gumpalan darah ini boleh tersumbat pada salur darah penting di otak dan jantung yang menyebabkan berlaku strok dan serangan jantung.

10. Ubat asid Tranexamic juga menyebabkan pening kepala dan akan bertambah teruk jika diambil bersama alkohol atau ubat lain. Ubat ini juga tidak disyorkan bagi remaja berumur bawah 18 tahun kerana status keselamatan dan keberkesanan ubat ini tidak dapat ditentukan.

11. Ada yang menjual ubat asid Tranexamic biasanya mencadangkan dos penggunaan harian yang tidak betul, malah ada yang mencadangkan ubat ini dibuka daripada kapsulnya dan dicampurkan dalam minuman jus buah atau air untuk disapukan pada muka.

Rakyat Malaysia harus menjadi pengguna lebih bijak. Jangan mudah percaya dan terpedaya dengan promosi jualan di Internet berkaitan ubat asid Tranexamic untuk mencerahkan kulit. Sehingga kini tiada data saintifik bahawa ubat ini berkesan untuk mencerahkan kulit. Malah, tidak berbaloi jika dilihat harga jualan ubat ini yang mencecah enam kali ganda harga cadangan jualan runcit oleh pengeluar.

Pengguna dinasihat mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dulu sebelum menggunakan produk asid Tranexamic. Jangan terlalu ghairah ingin memiliki kulit lebih cerah sehingga memperjudikan nyawa akibat serangan jantung atau strok kesan penggunaan ubat ini. Ubat ini hanya sesuai digunakan oleh pesakit yang mendapat rawatan doktor untuk masalah pendarahan, bukan pecerahan kulit.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1 800-88-6722.

Harian Metro