Baru-baru ini penulis telah berkunjung ke pesta buku popular yang sedang diadakan di Seri Kembangan sekitar jam 1 pagi pada hari Sabtu lalu. Penulis juga ini mengambil peluang membeli buku-buku kanak-kanak untuk anak buah kerana dikatakan buku dijual dengan harga potongan sehingga 90%! Memang menarik pesta buku tersebut dan penulis dapat melihat pelbagai genre buku untuk kanak-kanak, remaja dan juga untuk orang dewasa.
Sebenarnya ini bukan kali pertama saya ke pesta buku yang selalunya diadakan besar-besaran setiap hujung tahun. Ini kerana terdapat kepelbagaian buku dan juga harga yang dikenakan amat berpatutan. Tetapi apa yang mengejutkan penulis adalah terdapat buku yang tidak sesuai dan agak keterlaluan turut dijual secara terbuka di situ. Adakah tiada pemantauan terhadap isi kandungan buku khasnya komik yang memang diminati oleh kanak-kanak dan golongan dewasa sehinggakan buku seperti ini dijual di situ?
Apabila penulis melihat isi kandungan buku yang bertajuk “Husband” ini, ia ternyata memang amat mengecewakan kerana terdapat adegan cium di antara lelaki, bermesra di dalam bilik dan sebagainya. Penulis berharap selepas ini pihak penganjur dapat meneliti ( kalau tidak dapat teliti isi kandungan buku sekalipun, telitilah tajuk buku ). Penulis khuatir ia mungkin menjadi kebimbangan para ibubapa.