Pelakon antarabangsa Angelina Jolie mengarahkan filem yang bertajuk ‘Unbroken’ dan bakal ditayangkan pada 25 Disember depan.
Filem yang telah merangkul tiga anugerah ini adalah sebuah filem drama perang Amerika yang dihasilkan dan diarahkan oleh Angelina Jolie berdasarkan buku yang diterbitkan pada tahun 2010 oleh Laura Hillenbrand, ‘Unbroken: A World War II Story of Survival, Resilience, and Redemption’.
Filem ini berkisar kehidupan atlet Olimpik Louis “Louie” Zamperini, dibintangi Jack O’Connell sebagai Zamperini dengan Miyavi, Garrett Hedlund, dan Domhnall Gleeson. Louie telah terselamat dalam nahas kapal terbang di Lautan Pasifik dan menghabiskan masa 47 hari hanyut di atas rakit, dan kemudian beliau tinggal di dalam kem tahanan perang selama dua tahun.
Walau bagaimanapun, filem ini mendapat pelbagai reaksi negatif terutamanya rakyat negara Jepun. Masakan tidak, rakyat Jepun menganggap filem itu tidak bersandarkan fakta dan menokok tambah cerita. Ia juga dikatakan menyentuh sentimen kenegaraan negara Jepun.
Memetik laporan akhbar Berita Harian hari ini :
“Rangkaian adegan penderaan yang dialami oleh Zamperini di dalam filem ini menerusi perbuatan Sarjan Mutsuhiro Watanabe hanya diambil berdasarkan biografi Laura Hillenbrand dan diceritakan oleh Zamperini sendiri”.
Angelina Jolie bakal berdepan dengan isu boikot di negara matahari terbit itu kerana bukan saja filem ‘Unbroken’ yang bakal diharamkan, malah filem Angie yang lain juga dilarang ditayangkan pada masa akan datang.