Acara baru, KULFEST bakal menggegarkan Kuala Lumpur di Lanai Seni, MaTic Jalan Ampang pada 25, 26 dan 27 Disember akan datang ini.
Dianjurkan bersama oleh Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, KULFEST adalah acara jualan kreatif terbesar yang pertama di Kuala Lumpur yang dikelolakan oleh dua penganjur acara iaitu Switchblade Kuala Lumpur dan PintuMerah yang membawa acara Art of Speed Asia dan Kuala Lumpur Vintage Festival. Kedua-dua acara telah mencatatkan kemasukan pengunjung domestik dan antarabangsa yang amat memberansangkan.
KULFEST akan menampilkan bakat tempatan dari Malaysia sendiri dalam bidang seni, fesyen, masakan dan sebagainya. Turut dirancang pemasangan pop-up seni, persembahan komedi secara langsung, kugiran musik dan juga aktiviti-aktiviti lain. Para penjual di tapak acara akan mengaktifkan promo jualan akhir tahun mereka dan sampel makanan oleh pengendali trak makanan pada majlis ini.
Dianggarkan kira-kira 200 usahawan termasuk pengendali makanan artisanal, kraftangan, pengukir kulit dan penggemar vintaj telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam acara ini. Acara ini menyasarkan 20,000 pengunjung untuk melawat dan juga membeli-belah.
Menurut Zain Azrai bin Rashid, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015) akan menjadi kempen susulan utama selepas kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk menggalakkan ketibaan pelancong ke Malaysia. Malaysia menyasarkan untuk menerima 29.4 juta pelancong dan RM89 billion pendapatan pelancongan untuk MyFest 2015. Ini akan menjadi kesinambungan daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 dan bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenai pelbagai perayaan di negara ini. KULFEST adalah salah satu acara yang dirancang untuk menjayakan kempen ini.