Makanan laut terutama ikan mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan tubuh kerana ia kaya dengan kandungan asid lemak penting omega-3, mineral, antioksida dan vitamin.
Pengambilan makanan laut dalam jumlah yang mencukupi menyumbang kepada keperluan protein yang membantu meningkatkan metabolisma, seterusnya menggalakkan penurunan berat badan.
Kandungan nutriennya juga mampu menjaga kesihatan dan mengelak daripada risiko penyakit yang biasa berlaku dalam masyarakat seperti berat badan berlebihan, kencing manis, kardiovaskular, serangan strok dan masalah lemak dalam salur darah iaitu aterosklerosis.
Ikan Tuna
1. Sarat dengan khasiat seperti mineral, selenium, magnesium, potasium, kumpulan vitamin B kompleks dan omega-3.
2. Baik untuk kesihatan jantung seperti mengelak masalah ritma degupan jantung tidak sekata, mengurangkan risiko darah beku, membekalkan kolesterol baik pada tubuh, mengurangkan kesan kolesterol bahaya, membantu mengurangkan masalah radang, seterusnya menghalang arteri daripada tersumbat dengan plak lemak yang terkumpul dalam badan.
3. Kandungan tinggi vitamin B6 dalam tuna bersama asid folik, membantu melindungi dinding arteri daripada risiko aterosklerosis, seterusnya mengelak masalah darah tinggi yang menjurus kepada serangan jantung.
4. Tuna juga baik untuk kesihatan mata kerana omega-3 yang ada pada ikan berkenaan mampu menentang masalah degenerasi makula mata, satu keadaan yang mana penglihatan merosot dan antara risiko yang banyak menyerang mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
5. Kajian yang dijalankan mendapati pertambahan pengambilan omega-3 boleh mengurangkan sindrom mata kering iaitu punca utama dan aduan yang sering didengar daripada kebanyakan orang.
6. Ia juga dikatakan boleh menghalang masalah hilang ingatan seperti Alzheimer kerana membantu pengaliran darah yang lancar ke otak dan mengurangkan keradangan di otak.
7. Tuna dikatakan mampu meningkatkan mood seseorang dan mengurangkan perasaan tertekan yang dialami apabila aliran darah menjadi lancar, membantu fungsi otak, hormon dan sistem pertahanan badan.