Semua biasa minum air mineral Cactus bukan? Baru-baru ini, sempena tahun melawat Malaysia 2014, pengeluar air mineral Cactus telah menukar balutan botol air tersebut dengan gambar Dewa Murugan di Batu Caves dan turut disertakan dengan Logo Halal JAKIM.
Disebabkan itu, badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan penggunaan logo ‘Halal’ yang terdapat pada botol air mineral yang turut menggunakan gambar berhala masyarakat India beragama Hindu dalam kempen ‘Visit Malaysia 2014′.
Ketua Aktivis, Datuk Nadzim Johan berkata keadaan ini meragukan pengguna Islam dan hal ini merupakan suatu yang serius. Menurut PPIM, penggunaan gambar berbentuk keagamaan adalah dilarang. Mereka juga khuatir gambar dewa hindu ini boleh dijadikan sebagai bahan pemujaan melalui air.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan bagaimana cop ‘Halal’ yang dikeluarkan oleh JAKIM turut berada pada pembalut plastik yang turut tertera logo berhala.
“Kami pohon Jabatan Agama Islam (JAKIM) menyiasat secara serius dan ambil tindakan kerana ia melanggar Akta Perihal Dagangan yang melarang menggunakan logo-logo berbentuk keagamaan,” katanya.
Walaubagaimanapun, tinjauan portal SAYS MY pula mendapati botol air mineral Cactus ini sebenarnya turut mempamerkan gambar-gambar lain sekitar Malaysia seperti Langkawi, KLCC, Pulau Pinang, Gua di Perak dan lain-lain.
Jikalau begini, ini mungkin pendekatan yang digunakan oleh pengeluar dalam mempromosikan sesuatu tempat bersejarah kepada pengunjung khususnya pelancong asing.