Pada April lalu, portal Jobstreet.com telah menerbitkan keputusan survei mereka yang berobjektif untuk mengkaji bagaimana graduan baru menghadapi kos sara hidup di Malaysia. [ Baca : Survey Jobstreet : Adakah Gaji Graduan Baru Bekerja Terlalu Rendah Di Malaysia?]
Berdasarkan kajian tersebut, secara purata para graduan baru atau fresh graduate ini mempunyai pendapatan awal sebanyak RM 2, 500 dan kesimpulan daripada hasil survei tersebut juga menunujukkan yang rata-rata golongan ini berpendapat bahawa jumlah tersebut tidak mencukupi kerana kos sara hidup yang semakin tinggi.
Memetik laporan Bernama semalam, pakar ekonomi dan pengurusan kewangan pula berpendapat sebaliknya. Pakar sebaliknya berpendapat jumlah gaji permulaan RM 2, 500 yang diterima oleh siswazah yang baru memasuki alam pekerjaan adalah mencukupi jika individu tersebut mempraktiskan pengurusan kewangan yang bijak.
Survei yang dilakukan Jobstreet menunjukkan enam puluh peratus daripada respondenmenjangkakan gaji sebanyak RM3, 500 untuk pekerjaan pertama mereka manakala 30 peratus menjangka akan dibayar setinggi RM6 , 500 sebagai gaji permulaan mereka untuk hidup dengan selesa. Pakar pula berpendapat, purata gaji permulaan RM 2500 adalah munasabah memandangkan mereka tidak mempunyai kemahiran dan pihak majikan ‘mengambil risiko’ dengan menggaji mereka.
Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Mohd Adnan Anan Abdullah, isu gaji sebenarnya bergantung kepada profil individu. Misalnya jika di Kuala Lumpur,kos makanan untuk sehari boleh mencecah sehingga RM 30 jika sering makan di luar dan lebih tinggi lagi jika individu tersebut mempunyai tabiat merokok.
Survei sebelum ini mengatakan bahawa para graduan membelanjakan RM1 , 500 sebulan untuk membayar balik kereta mereka dan pinjaman pendidikan , dan mengadu bahawa kenaikan harga bahan api menambahkan kos pengangkutan yang tidak setimpal dengan gaji yang diperoleh. Sebaliknya pakar pula menasihatkan para graduan untuk tidak tergesa-gesa memiliki kereta selagi kewangan belum kukuh kerana ianya akan membawa kepada bebanan harga minyak, tol,parking selain bayaran penyelenggaraan serta cukai dan insurans tahunan yang agak tinggi.
Kenyataan 77 % daripada responden yang mengatakan , tiada baki wang gaji yang boleh dijadikan simpanan selepas membayar semua keperluan juga disanggah pakar dengan kenyataan ‘seseorang yang menyimpan 10 peratus daripada gaji setiap bulan menuju ke laluan yang tepat
“Petua itu macam mudah, tetapi memerlukan disiplin kuat dan disarankan disimpan secara terus, sama ada dalam amanah saham atau bank berbeza, kerana menjadi tabiat untuk kita mudah berbelanja, selagi ada ‘balance’ dalam bank”
Pensyarah ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Dr Shazali Abu pula menambah yang para graduan yang mula bekerja mengamalkan pemikiran positif dan menganggap tempat kerja pertama sebagai tempat untuk menimba ilmu , bersabar dan pelu mengganggap tempoh tersebut masih lagi satu fasa yang sama seperti sesi ketika graduan menjalani latihan praktikal semasa berstatus pelajar.
Sejauh mana anda bersetuju dengan kenyataan pakar tentang isu ini? Bagi penulis sendiri, masih ramai lagi para graduan tidak mendapat walau nilai gaji purata yang dinyatakan tersebut. Malah berdasarkan laporan ABN Xcess, statistik kajian yang mengikut piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kira-kira satu pertiga atau dua juta isi rumah di Malaysia masih memperoleh pendapatan kurang RM3,000 sebulan.Belum lagi dikira kegagalan untuk mendapatkan pekerjaan setimpal dengan kelayakan dan isu graduan menganggur. Seperkara lagi, tidak semua graduan baru bekerja membeli kereta atas alasan untuk berlagak ‘cool’ sebaliknya untuk sesetengah kes, ianya menjadi keperluan sebagai pengangkutan ke tempat kerja kerana kelemahan sistem pengangkutan awam.