Berita & Isu Semasa, Makanan, Pilihan

Inspirasi – Penjual Aiskrim Ini Jana Pendapatan Ribuan Ringgit Di Kuala Lumpur

Aida Sue
/
Seorang pencinta sosial media, Aida Sue bukan hanya menulis, tetapi juga seorang tweep dan Instagrammer yang setia. Suka makan, fesyen, kopi dan melancong. Twitter/Instagram : @AidaSue
Inspirasi – Penjual Aiskrim Ini Jana Pendapatan Ribuan Ringgit Di Kuala Lumpur

good-good-icecream-tempah-1

Dalam segmen inspirasi kali ini, kami telah menemubual seorang ahli perniagaan yang mungkin sedikit berbeza dari orang lain. Mohd Fairuz Mohyi, 30 tahun, merupakan seorang penjual aiskrim Good Good Icecream di atas motor di ibu kota dan kini menjadikan pekerjaan penjual aiskrim sepenuh masa untuk menyara isteri dan anaknya. Siapa sangka menjual aiskrim pun boleh menjana pendapatan sehingga ribuan ringgit setiap bulan? Kami ingin berkongsi kisah penjual aiskrim yang kini popular di laman Instagram yang giat mempromosikan perniagaan miliknya.

Memulakan kerjayanya sebagai penjual aiskrim sambilan sekitar tahun 2009, pada mulanya Fairuz hanya suka-suka menjual aiskrim pada hujung minggu untuk menambah pendapatan. Lagipun dia mengambil keputusan itu untuk mengumpul dana majlis perkahwinannya pada masa itu. Dia mendapat bantuan ‘mentor’nya yang lebih berpengalaman menjual aiskrim di Kuala Lumpur lebih 2 dekad lalu.

IKLAN

Pada mulanya Fairuz ‘malu’ menjual aiskrim terutamanya di tempat awam, tetapi demi mencari wang tambahan, dia nekad untuk membuang rasa malu itu. Ditambah pula, ada rakan-rakan yang pelik apabila melihat keadaan Fairuz yang menjual aiskrim, dan bertanya seribu satu soalan terutamanya dari segi kewangan. Kemudian perasaan suka-suka itu berubah menjadi minat selepas mendapat hasil lebih daripada RM200 sehari daripada menjual aiskrim. Lalu Fairuz bertekad berhenti bekerja pada tahun 2011 di sebuah syarikat swasta dan mengambil keputusan untuk menjadi penjual aiskrim sepenuh masa. Walau bagaimanapun, dia tidak yakin dengan keputusan yang diambilnya lalu selepas 7 bulan, dia bekerja balik di syarikat yang sama.

Fairuz yang sehingga kini tidak pernah mengambil pinjaman kewangan daripada mana-mana bank menyifatkan menjual aiskrim sebenarnya tidak memerlukan modal yang besar.

 “Menjual aiskrim sebenarnya tak perlu pakai modal besar pun. Kita tidak perlu membeli aiskrim sebelum menjual. Apa yang kita berjaya jual, itulah untungnya. Selebihnya kita boleh pulangkan balik kepada syarikat aiskrim ataupun simpan dan jual esoknya. Jadi sebab itu saya suka dengan perniagaan ini. Modalnya cuma ais penyejuk aiskrim dan juga topping aiskrim sahaja. Lagipun, mentor saya yang memberikan saya tips dan juga dia yang mengajak saja memulakan bisnes ini. Selepas beberapa lama mengikut mentor saya, saya pun nekad untuk turun padang sendirian”, ujar Fairuz.

Fairuz berkata, setiap perniagaan ada cabarannya. Dahulu semasa berniaga aiskrim menggunakan motosikal pada hujung minggu, pendapatannya tidak menentu. Jika hujan, mungkin pendapatannya sekitar RM50 sahaja sehari berbanding RM200 pada hari yang sibuk. Selain itu juga, dia pernah dihalau oleh pihak berkuasa kerana menjaja di tempat yang dilarang. Tetapi berkat kecekalannya, semuanya berjaya diharungi sehingga berada di kedudukannya sekarang.

good-good-icecream-tempah-7

Jana pendapatan ribuan ringgit sebulan

Bagaimana kerjaya menjual aiskrim di atas motosikal boleh jana pendapatan sehingga ribuan ringgit? Penulis juga hairan dan kagum. Fairuz berkata, zaman sekarang adalah zaman teknologi. Jadi dia mengambil keputusan untuk cuba memasarkan aiskrimnya di laman sosial dan juga blog.

tempah-icecream-malaysia

IKLAN

Fairuz mempunyai beberapa blog aiskrim jika ada yang ingin mengambil tempahan aiskrim di internet. Selain itu juga, dia amat popular di laman Instagram bagi kategori perniagaan aiskrim. Aiskrim yang dijual juga bermula dengan harga 50 sen sahaja dan itu telah menarik ramai pihak mencuba perkhidmatannya di majlis perkahwinan, akikah dan yang terbaru, Fairuz telah menerima tempahan dari pihak universiti tempatan untuk menjual aiskrim semasa acara konvokesyen berlangsung. Dia juga bakal menjual aiskrim di portal aiskrim miliknya yang bakal beroperasi kelak. Para pengguna internet boleh membuat tempahan aiskrim dengan mudah selepas ini.

Selain itu juga, pada hari biasa, Fairuz sibuk menguruskan tempahan aiskrim untuk majlis-majlis keraian dan pada hujung minggu jika ada kelapangan, dia akan menjual aiskrim di atas motosikal seperti biasa. Dengan usaha gigih Fairuz ini, dia berjaya menjana pendapatan lebih daripada gaji ekskutif di pejabat dan tidak menggunakan pinjaman dari bank. Hebat kan?

Fairuz yang kini mempunyai dua orang cahaya mata menyifatkan usaha gigihnya dilakukan demi anak-anak dan isterinya. Dia menyimpan hasrat untuk menjadi penjual aiskrim terkenal di Kuala Lumpur bersama adiknya kerana menurutnya, tidak ramai warga tempatan yang berminat menjual aiskrim kerana mungkin tidak ramai yang tahu mengenai keuntungan menjual aiskrim.

Bagi anda yang ingin membuat tempahan aiskrim atau melihat sendiri update si penjual aiskrim moden ini, anda boleh follow Instagram miliknya di  PenjualAiskrim ataupun layari laman web http://goodgoodicecream.com.my/ .

good-good-icecream-tempah-6

good-good-icecream-tempah-3

good-good-icecream-tempah-4

good-good-icecream-tempah-2