Baru-baru ini kami berkesempatan untuk hadir ke previu filem seram yang dinanti-nantikan iaitu filem Annabelle. Pada pendapat kami filem ini tidaklah seseram filem The Conjuring yang mendapat kutipan pecah panggung sehingga RM600juta berbanding kos pembikinan filem yang dianggarkan sekitar RM60juta sahaja.
Annabelle diarahkan oleh John R. Leonetti, yang dihasilkan oleh James Wan, dan ditulis oleh Gary Dauberman. Ia akan ditayangkan di seluruh dunia pada 2 Oktober 2014. Filem Annabelle ini merupakan prekuel dan spin-off filem The Conjuring dan para pelakonnya juga adalah barisan pelakon yang berlainan. Yang menariknya, heroin filem ini juga bernama Annabelle iaitu Annabelle Wallis dan Ward Horton.
Spoiler dan sinopsis :
John Gordon mendapati hadiah yang sempurna untuk isterinya yang sedang mengandung , Mia. Ia merupakan sebuah anak patung vintaj yang diingini oleh Mia sejak dulu lagi kerana dia merupakan pengumpul anak patung vintaj. Malangnya, kegembiraan keluarga itu adalah singkat. Pada satu malam ngeri, rumah jiran mereka diserang oleh ahli-ahli kultus syaitan yang yang dianggotai oleh anak jiran mereka. Mereka telah membunuh ibu bapa mereka sendiri dan pergi ke rumah Mia. Annabelle merupakan anak kepada jirannya yang terlibat dalam kumpulan kultus syaitan ( ajaran sesat ) mengambil patung vintaj Mia untuk menjelmakan satu entiti jahat menggunakan medium patung tersebut. Walau bagaimanapun, Annabelle telah membunuh diri dengan memegang patung vintaj di tangannya. John membuang patung vintaj itu selepas Mia merasakan pelbagai perkara aneh berlaku selepas itu dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk berpindah ke California selepas John mendapat kerja di sana dan setelah Mia melahirkan bayi perempuan mereka, Leah.
Selepas mengemas barang untuk masuk ke rumah baru itu, mereka mendapati patung itu masih lagi berada bersama mereka. Mia mengambil keputusan untuk menyimpan patung itu dan rupa-rupanya, keputusan itu adalah satu kesilapan yang besar. Pelbagai kejadian aneh berlaku di rumah mereka dan rupa-rupanya, patung itu menagih roh yang ditawarkan kepadanya. Patung ‘Annabelle’ yang berpuaka itu menagih roh Leah yang masih kecil yang tidak tahu menawarkan rohnya sendiri. Pada satu malam, mereka memanggil paderi untuk menyimpan patung itu. Apabila paderi itu membawa patung itu balik bersamanya ke gereja, paderi itu turut diganggu oleh syaitan dan menyebabkan dia dimasukkan ke hospital. Pada masa itulah paderi menceritakan kepada John yang merupakan doktor di hospital itu mengenai kejadian sebenar dan mengarahkan Mia keluar dari rumah itu. John gagal menghubungi Mia dan nekad pulang ke rumahnya untuk menyelamatkan isteri dan anaknya. Mia yang terlalu tertekan mengambil keputusan untuk membunuh diri dan menawarkan rohnya kepada patung itu. John sempat menghalang Mia dan tidak semena-mena, rakan Mia, Evelyn yang terjun membunuh diri dan membawa patung itu. Keluarga itu akhirnya dapat hidup bahagia.
Review :
Filem ini tidaklah seseram filem The Conjuring dan penulis ibaratkan pengakhiran cerita ini sebagai anti klimaks. Bagi penonton filem seram tegar, anda bolehlah tengok filem ini untuk mengisi masa lapang. Filem ini juga banyak bermain dengan muzik latar, jadi jika anda tutup mata pun, boleh juga rasa keseramannya.