Artikel ini agak menarik di mana kami berkongsi kisah Orang Kelainan Upaya Pendengaran di Malaysia. Hujung minggu lalu, penulis berkesempatan ke sebuah restoran yang menjalankan program yang agak istimewa bersama Orang Kelainan Upaya ( OKU ) di Taman Tun Dr Ismail. Program ini dinamakan “Experience Deaf Restaurant” ini dijalankan dengan kerjasama Syed Azmi, Little Wonton Cafe, dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia MFD (Malaysian Federation Of The Deaf). Sebenarnya program ini dijalankan sempena Deaf Awareness Month pada bulan September dan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga OKU dengan dunia pekerjaan terutamanya sektor makanan dan juga memberi pengalaman baru kepada pengunjung bagaimana berinteraksi dengan golongan istimewa ini.
Apabila kami sampai di restoran itu, kami telah disambut ceria oleh seorang pekerja restoran yang juga terdiri dari kalangan warga MFD yang berusia 18 tahun hingga 35 tahun. Kami telah diberikan kertas untuk memilih menu makanan yang lain dari yang lain. Di atas kertas itu terdapat gambar isyarat tangan yang mengajar pengunjung memesan makanan dengan menggunakan bahasa isyarat. Jadi bagi yang tidak pernah menggunakan bahasa isyarat, mungkin ianya agak kekok sedikit, tetapi ia secara tidak langsung memberi maklumat baharu yang selama ini mungkin tidak peduli dengan bahasa isyarat ini.
Di setiap meja pula terdapat sebuah buku bahasa isyarat yang boleh anda lihat,baca dan berlatih menggunakan bahasa isyarat tangan sambil menunggu makanan. Anda juga dapat membeli t-shirt dan juga buku tersebut di situ. Walaupun program ini dijalankan selama 6 jam sahaja, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Penulis telah menemubual pengerusi MFD, Puan Goh untuk bercerita dengan lebih lanjut mengenai program yang dianjurkan oleh mereka. Mereka mengadakan acara ini untuk menimbulkan kesedaran orang ramai dan memberi peluang warga OKU berkomunikasi dan berinteraksi bersama masyarakat. Apabila ditanya mengenai realiti peluang pekerjaan warga OKU pendengaran di Malaysia, beliau berkata kini terdapat banyak sektor swasta dan kerajaan yang menempatkan golongan OKU pendengaran yang layak dari segi akademik dan juga berpengalaman di syarikat mereka. Ada juga yang bekerja di syarikat yang ditubuhkan sendiri oleh golongan OKU pendengaran ini. Hebat kan?
Mereka mengadakan kelas bahasa isyarat dan juga cara-cara untuk bersolat bagi golongan OKU yang beragama Islam. Setakat ini di Malaysia terdapat kurang daripada 50 orang jurubahasa isyarat yang bertauliah untuk lebih 50,000 orang OKU ( pendengaran ) di Malaysia dengan gaji kurang daripada RM1,000. Nampak agak menyedihkan, tetapi itulah realitinya.
Pusat operasi Persekutuan Orang Pekak Malaysia terletak di Menara MLH, Bandar Puchong Jaya menempatkan sebuah taska, kelas untuk kursus belajar bahasa isyarat dan juga kafe yang diuruskan sepenuhnya oleh warga OKU pendengaran. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program Persekutuan Orang Pekak Malaysia, anda boleh layari Facebook MFD (Malaysian Federation Of The Deaf) dan Facebook Syed Azmi