Cuti-cuti Malaysia! Penat bekerja seharian? Inginkan tempat riadah dan rekreasi yang penuh ketenangan malah boleh menikmati kesejukan air terjun yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi? Tak perlu pergi ke luar negara kerana dalam Malaysia juga punya keindahan air terjun yang tersendiri.
Bagi anda yang merancang mahu ke kawasan alam semula jadi untuk menghilangkan tekanan, berikut senarai air terjun yang boleh dijadikan terapi buat anda kunjungi pada bila-bila masa saja.
AIR TERJUN STONG, KELANTAN
Dikenali sebagai air terjun Jelawang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Ia mengambil masa selama dua jam mendaki untuk sampai ke puncak air terjun. Air terjun yang mempunyai ketinggian 305 meter ini mengalir dari tebing batu tinggi dan mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama pelancong. Selain menyediakan kemudahan-kemudahan menarik seperti chalet, surau dan tapak perkhemahan, anda juga boleh melakukan aktiviti jungle trekking. Bagi anda yang berani, anda boleh melakukan aksi meluncur dari atas puncak air terjun. Anda boleh melihat panorama matahari terbit dari puncak air terjun.
AIR TERJUN LATA TEMBAKAH, TERENGGANU
Mempunyai tujuh tingkat dan banyak kolam-kolam takungan ini merupakan tarikan utama penduduk tempatan dan orang luar berkunjung ke sini. Bagi anda yang membawa keluarga atau anak-anak kecil, kolam-kolam takungan di tingkat satu dan dua adalah yang paling sesuai kerana kawasannya yang luas dan tidak perlu berjalan jauh. Melainkan jika anda punyai stamina tinggi, anda boleh daki sehingga ke tingkat yang paling tinggi.
AIR TERJUN CHILING, SELANGOR
Hanya 21 kilometer dari Kuala Kubu Bharu, air terjun ini dikatakan air terjun tercantik yang terdapat di Selangor. Mempunyai tiga tingkat, anda perlu melalui trek mencabar sepanjang sungai untuk sampai. Perjalanan untuk sampai ke air terjun memakan masa kira-kira satu jam selepas lima kali menyeberangi jeram. Usah risau, paras air jarang melebihi paras paha dan arus juga perlahan membolehkan anda boleh menyeberang dengan mudah. Selain menyaksikan panorama indah, anda juga boleh melihat kejinakan spesis ikan kelah yang bermain arus di celah-celah batu.
AIR TERJUN JERAM TOI, NEGERI SEMBILAN
Terletak di kawasan Hutan Lipur Jeram Toi, Kuala Klawang daerah Jelebu ini mempunyai sejarahnya tersendiri. Dikatakan bahawa nama air terjun ini diperoleh sempena nama To’ Batin Toi, seorang ketua orang asli yang pernah menghuni hutan ini suatu ketika dulu. Tarikan air terjun ini juga terletak pada tujuh tingkat yang dikelilingi alam rimba yang hijau memukau. Selain berkelah, anda juga boleh melakukan aktiviti lasak dengan menyusuri sepanjang jeram untuk melihat kawasan hutan.
AIR TERJUN LATA KINJANG, PERAK
Air terjun bertingkat-tingkat yang hebat ini menjunam 850 meter ke bawah sebelah tepi gunung merupakan satu pemandangan yang sangat menarik. Anda boleh menikmati perkelahan yang menyeronokkan ini kerana airnya yang datang dari gunung. Air terjun yang terletak sejauh 18 kilometer dari pintu keluar Tapah ini boleh dilihat dari lebuhraya Utara-Selatan dari pintu keluar Tapah.